600 anak perantau Kelantan terima bantuan pascabanjir

- Advertisement -

SHAH ALAM: Tahun lepas kerajaan Kelantan melalui Tabung Serambi menyalur sumbangan sebanyak RM100,000 kepada kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Selain kerajaan negeri, pelbagai pihak dari Kelantan termasuk wakil-wakil rakyat dan NGO menggerakkan misi bantuan banjir ke Selangor terutamanya lokasi yang terjejas teruk termasuk Shah Alam dan Hulu Langat.

- Advertisement -

Dan hari ini Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob dan pimpinan kerajaan negeri sekali lagi turun padang menyampaikan bantuan kebajikan pasca banjir 2021 kepada anak-anak Kelantan di perantauan bertempat di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Katanya, penyampaian bantuan tersebut melibatkan lebih 600 penerima daripada ketua keluarga yang terjejas banjir luar jangka di Lembah Klang pada Disember lepas.

“Sebelum ini kerajaan negeri menghulurkan bantuan segera kepada Kerajaan Selangor dan Pahang dan turut melancarkan misi sukarelawan banjir ke negeri-negeri tersebut.

“Semoga bantuan banjir ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas yang masih lagi dalam pemulihan pasca banjir,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Selangor terjejas teruk akibat banjir yang melanda akhir tahun lepas sehingga ramai penduduk terperangkap ekoran kejadian luar jangka tersebut. Banyak harta benda milik mereka musnah.

Manakala pada petang ini Menteri Besar Kelantan merasmikan Wisma Perantau di Jalan Pahang Barat yang menempatkan Unit Serantau Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri dan Persatuan Perantau Malaysia Kelantan. – HARAKAHDAILY 12/2/2022

- Advertisement -