Politik Islam: Integriti asas pengurusan

- Advertisement -

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ.

“Dan (antara ciri orang yang berjaya) mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(al-Mu’minun: 8)

- Advertisement -

Baginda Rasulullah S.A.W juga sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja. Kedua-dua sifat tersebut ialah sifat yang disukai dan dicintai oleh Allah S.W.T. 

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ.

“Sesungguhnya Allah S.W.T mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu pekerjaan, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan rapi).”

(Riwayat At-Tabarani)

Sifat amanah dan bersungguh-sungguh dalam bekerja dan melaksanakan tugasan adalah bukti integriti yang wujud dalam diri seseorang. Tanpa sifat ini, seseorang akan melaksanakan tugasannya sekadar melepas tanggungjawab sahaja tanpa mengambil kira keberkesanan dan impak daripadanya.

Firman Allah S.W.T:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ.

“Dan Aku (Allah S.W.T) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

(Az-Zaariyat: 56)

Ibadah adalah amalan yang menepati kehendak syarak sama ada dari segi percakapan, perbuatan, hati atau lainnya. Ianya meliputi ibadah khusus dan ibadah umum.

Konsep ibadah yang terbaik adalah yang mencapai tahap ihsan iaitu melakukan sesuatu hanya semata-mata kerana Allah seolah-olah dia melihat Allah S.W.T atau sekurang-kurangnya dia menyedari Allah S.W.T sentiasa melihatnya.

Sifat perhambaan dan rasa bertanggungjawaban (integriti) hanya akan dicapai bagi orang yang menyedari hakikat kewujudannya di atas muka bumi dan keyakinannya kepada hari perhitungan (hari akhirat).

Keyakinan ini akan mendorong seseorang melakukan sesuatu amanah dengan sebaiknya kerana ianya pasti akan dipersoalkan dan dihitung untuk diberikan ganjaran dan pembalasan oleh Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعيّتِهِ, والأميرُ راعٍ, والرّجُلُ راعٍ على أهلِ بيتِهِ, والمرأةُ رَاعِيَّةٌ على بيتِ زوجِها وَوَلَدِهِ, فكلّكم راعٍ وكلّكم مسئولٌ عنْ رَعِيَّتِهِ.

“Rasulullah S.A.W bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan pasti akan dipersoalkan atas tanggungjawab kepemimpinan kamu. Seorang pemerintah adalah pemimpin, seorang suami adalah pemimpin seluruh keluarganya, seorang isteri juga pemimpin atas rumah suami dan anaknya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu pasti akan dipersoalkan terhadap tanggungjawab kepemimpinannya.”

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita betapa kehidupan adalah satu perjalanan menuju Allah S.W.T di mana semua urusan kehidupan akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T.

Urusan peribadi akan dipersoalkan. Apatah lagi urusan kepimpinan yang melibatkan ramai manusia. Ini menuntut setiap individu agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan.

Justeru untuk memastikan maslahah dan kepentingan umat Islam dan masyarakat seluruhnya terjamin, adalah satu keperluan untuk memilih pemimpin yang dikenali sifat integritinya. 

Tiada rekod penyalahgunaan kuasa. Tidak pernah terlibat dengan isu rasuah. Tidak pernah mempermainkan janji. Bertanggungjawab dan jujur dalam kehidupan. Bersederhana dalam pengurusan. 

PAS Johor menyeru semua pihak agar menggunakan kewarasan akal yang diberikan oleh Allah untuk membuat penilaian secara berhikmah demi kesinambungan kehidupan yang baik untuk generasi akan datang.

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 11/2/2022

- Advertisement -