Wira tak didendang: Abang Rahim Komando dalam kenangan

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

GURATAN wajahnya tegas, sorotan matanya tajam seperti bersiaga sepanjang masa, jika kita tak mengenalinya secara rapat maka kita akan menjaga jarak dengannya. Dalam Jabatan Amal Malaysia, jarang yang tak mengenali sosok renta ini, jasanya mendidik anak muda dan pelapis Amal akan terus terpahat dalam buku amal almarhum Abang Rahim Komando.

7 Februari 2022 adalah tarikh yang terpahat pada batu nisan sosok jurulatih Amal ini. Damailah Abang Rahim komando atau nama sebenarnya Abdul Rahim bin Abdul Shukor. Anak kelahiran Perak pemberani ini bukan kaleng-kaleng, dekad 1980-an dia sudah meredah hutan memburu pengganas komunis dalam resurgensi fasa kedua Parti Komunis Malaya. Dilatih di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson, sebelum diserapkan ke dalam unit Infantri Tentera Darat. Abang Rahim menyertai operasi dan pelbagai latihan ketenteraan tentera darat. Khidmat terakhir beliau dalam ATM ialah dalam Regimen 22 Gerak Khas atau Pasukan GGK, sebuah pasukan elit tentera Malaysia.

Pandemik telah menjarakkan ukhuwah semahal tempayan emas antara kami, lama aku tak bersua muka dengan Abang Rahim sepanjang musim wabak yang mendunia ini. Menerima berita keuzuran Abang Rahim semasa bermusafir di Syria, aku terus memasang niat utk melawat beliau jika panjang umurku sepulang daripada pemusafiran misi kemanusiaan.

Takdir Allah telah tercatat, Allah lebih sayangkan Abang Rahim. Sayu,hatiku basah!

- Advertisement -

Almarhum tak mengenal lelah dan tak culas dalam berbakti. Teringat saat aku dalam DPPM dahulu, dia tercegat mengawal majlis ijtimak. Memandangku terus ditegakkan badan tegapnya dengan satu tabik hormat gaya pasukan elit komando, aku merangkul tubuhnya mesra, tanda kasih sayang pada seorang bapa dalam merencah sketsa sebuah cinta pada perjuangan Islam. Dia anggota JAM yang aktif berkhidmat sebelum jatuh sakit. Seawal tahun 2000 dahulu almarhum menyertai PAS, sedikit demi sedikit aktif di cawangan dan kawasan, seterusnya bakatnya dicurahkan kepada organisasi Jabatan Amal.

“Sihat tak bang Rahim?” aku berbasa basi apabila bertemu dengan otai ini.

“Macam nilah ustaz…orang tua…sihat gaya orang tua,” tukasnya bercanda, otot badannya kekar, memang mantan anggota pasukan elit tentera ini menjaga kesihatannya. Jangan diajak bergurau mencari orang hilang di hutan kerana dia akan mendahului anggota penyelamat yang lain.

Hebat sungguh Bang Rahim Komando dalam selok belok hutan rimba kerana dia memang terlatih khusus dalam bidang itu. Apa yang aku perhatikan, dia tak pernah membangga diri untuk berlabun atau membusung dada bercerita pengalamannya memburu musuh negara di hutan belantara. Sayap komando yang tetap dipakai di badannya adalah lambang kecintaannya pada agama dan tanah watan.

Menurut Shehdi Hazrik, Timbalan Ketua  Pengarah 1 JAM Pusat, pada tahun 2007 Abang Rahim komando telab mula aktif dalam Jabatan Amal di peringkat negeri Perak dan Pusat sebagai jurulatih JAM yang terawal dan merupakan Jurulatih Trafik Lalulintas dan Pengiring Keselamatan Pimpinan yang pertama dalam JAM.

Menurut Tuan Norul Ryzal Abd Rahim (Shehdi Hazrik 2022), antara jasa besar Pak Rahim kepada JAM adalah beliau merupakan salah seorang jurulatih yang mengilhamkan pembentukan unit-unit kecil dalam JAM yang kini dikenali sebagai kor-kor mengikut pengkhususan kepakaran tugas, penggunaan insignia dan menerapkan keseragaman juga disiplin pakaian seragam yang kini diguna pakai dalam JAM sehingga sekarang.

Almarhum Abang Rahim bersama lapan orang jurulatih JAM yang lain termasuk Allahyarham Ustaz Zawawi Hassan juga terlibat dalam penstrukturan semula kurikulum JAMN Perak juga JAM dan antara sumbangan ilmu yang diberikan adalah:

1. Kurikulum Pengiring JAM.
2. Modul kawalan keselamatan pimpinan JAM
3. Modul Kompas Marching dan Orienteering JAM
4. Modul Latihan Search and Rescue JAM
5. Pengilham Modul Penilaian dalam Sistem KAKA JAM.

Terlalu banyak jasa kebaktian Abang Rahim terhadap jamaah, JAM dan kepimpinan. Beliau tegar dengan disiplin tenteranya walaupun telah bersara. Jangan diajak almarhum makan dan minum saat bertugas, dia akan menolak dengan baik “tak palah ustaz…abang sedang bertugas,” terngiang-ngiang suara perwira negara itu. Semoga Allah merahmati arwah dan juga pahala mengalir berterusan atas ilmu yang dicurahkan kepada anggota Amal dalam dua dekad ini. – HARAKAHDAILY 9/2/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -