Muslim Care dan pemberdayaan pendidikan anak-anak Syria

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PENDIDIKAN adalah agen transformasi sosial yang akan mewajahkan bentuk peradaban manusia. Manakala peperangan akan mengheret kemusnahan tamadun dan melunturkan rasa manusiawi, impaknya kehilangan generasi berpendidikan akibat berantakan adu kuasa. Islam memacu peradaban dan memanusiakan manusia melalui wahana pendidikan sebagaimana perintah Allah SWT dan junjungan ar Rasul SAW. Generasi al-Quran yang dicetak upaya dan kemahiran akal mereka akhirnya bertebaran ke merata pelosok dunia mengubah landskap kehidupan berpandukan tauhid.

Krisis di bumi Syria telah melepasi sedekad umurnya, manakala kesannya telah menjangkaui apa yang kita fikirkan selama ini. Kemusnahan fizikal, kehilangan nyawa, pengungsian skala mega, perang proksi, unjuran akan terbelahnya Syria kepada dua buah negara serta melatanya kejahilan generasi muda akan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Muslim Care Malaysia semenjak awal krisis kemanusiaan terbesar rantau Timur Tengah ini telah menghantar pelbagai misi bantuan kemanusiaan sama ada di musim sejuk atau pun musim panas.

- Advertisement -

Jauh lebih besar, nuansa kebajikan gerakan swadaya ini menyasarkan ruang pemberdayaan pendidikan anak-anak Syria di sempadan bahkan di dalam negara itu sendiri. Sejak tahun 2013, sekolah-sekolah pelarian ini berfungsi melahirkan generasi yang berilmu dan digerakkan oleh Muslim Care Malaysia melalui dana awam. Jutaan wang telah dilaburkan untuk memastikan agenda pendidikan anak-anak ini tidak terencat, bukan kepalang kejerihan untuk memastikan sekolah ini terus menjadi lantera bagi akal.

Muslim Care Malaysia memulakan langkah dalam sektor ini seiringan dengan membantu sektor bantuan makanan juga bantuan kesihatan. Dalam tempoh beroperasinya sekolah-sekolah ini, seramai 23,200 orang alumni telah menikmati pendidikan. Kini rakyat Malaysia boleh berbangga dengan hasil usaha ini apabila ratusan pelajar daripada sekolah Muslim Care Malaysia telah melanjutkan pendidikan tinggi di pelbagai kampus di negaraTurki.

Minggu ini, anggota misi Muslim Care Malaysia dijemput untuk meraikan himpunan alumni sekolah-sekolah Muslim Care Malaysia di bandar Rayhalli. Acara gilang gemilang itu untuk apresiasi kepada seluruh para asatizah, alumni yang berjaya, juga sebagai menyambut kehadiran anggota Muslim Care Malaysia dalam misi kali ini. Airmata kami tumpah semasa menyaksikan satu pantomim yang dilakonkan oleh pelajar-pelajar sekolah Muslim Care Malaysia. Kelihatan kanak-kanak yang sakit ditolak oleh lembaga PBB, Liga Arab namun disantuni oleh Turki dan juga Malaysia. Sejujurnya dua negara inilah yang paling banyak menghantar sumbangan kemanusiaan di kebanyakan peta luka umat Islam.

Alumni sekolah-sekolah Muslim Care Malaysia ini belajar dalam pelbagai bidang di universiti, antaranya dalam bidang perubatan, pergigian, teknologi maklumat, ekonomi dan lain-lain. Sekolah-sekolah Muslim Care Malaysia ini juga memberikan peluang pekerjaan kepada kelompok intelegensia Syria untuk berkhidmat sebagai pendidik. Seramai 400 orang telah menjadi pendidik di institusi pendidikan ini, ada juga kalangan balu syuhada yang dipilih menjadi tenaga pengajar.

Sejajar dengan perkembangan pesat sekolah pelarian Syria, Muslim Care Malaysia telah menjenamakan sekolah ini dengan Islamic International School Muslim Care Malaysia. Manakala beberapa sekolah di dalam negara Syria di Idlib dan Afrin dijenamakan sebagai Maahad Tahfiz Muslim Care Malaysia. Terkini, seramai 700 orang pelajar menuntut ilmu dirangkaian institusi pendidikan Muslim Care Malaysia di dalam dan juga di sempadan Syria-Turki.

Kami memohon agar kelangsungan institusi pendidikan ini dengan jayanya, memohon rakyat Malaysia berkongsi sedikit rezeki kalian. Pelajar-pelajar ini perlukan tajaan hanya RM100 sebulan serta pendanaan yang berterusan kepada sekolah ini untuk memastikan ianya boleh bertahan sehinggalah fajar keamanan memunculkan sinar di bumi Syria. Jom menyumbang teman-teman sekalian dengan klik https://toyyibpay.com/BANTUAN-MUSIM-SEJUK-SYRIA

Atau bank in ke Syria Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882
WhatsApp 011 500 500 35 – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -