Kerajaan setuju kecualikan bayaran proses UPUOnline

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/ Unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia, asasi, matrikulasi dan diploma/setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

- Advertisement -

Menurutnya, permohonan kemasukan akan dibuka mulai esok (4 Februari) sehingga 31 Mac 2022.

Sehubungan dengan itu, katanya pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke lnstitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lnstitut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

“Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya KPT berharap agar keputusan itu dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya  menjamin masa depan yang lebih cerah. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -