Bina menara pemerhati di sempadan Malaysia-Thailand

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman mencadangkan supaya dibina menara pos pemerhati (observation post) di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarahnya Dato’ Hazani Ghazali berkata, menara pos pemerhati merupakan antara elemen penting dalam pelaksanaan sebarang operasi.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, beberapa faktor perlu dilihat selain tinjauan di lokasi untuk mengenal kesesuaian tempat pembinaannya.

Kata beliau pos pemerhati memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga dalam memutuskan aliran masuk jenayah rentas sempadan di sesuatu kawasan termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan yang tidak sah.

“Kalau pos pemerhati kalau dapat dibina di setiap pos kawalan sempadan lagi bagus, namun kena berbincang memandangkan ada sesetengah tempat tanah milik persendirian.

“Selain itu, kita juga mencadang digazetkan pos kawalan sedia ada untuk dijadikan sebagai kawasan larangan sekaligus melancarkan aktiviti operasi dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan sempadan di Pos Ibrahim Pencen, di sini hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kesediaan pihak polis sekiranya sempadan negara dibuka, Hazani bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia dengan segala aspek sekiranya kerajaan mengumum untuk membuka kembali pintu sempadan negara.

Malah katanya, pasukan PGA juga sentiasa diingatkan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Bagaimanapun tanggungjawab tersebut tidak hanya bergantung kepada pihak polis sahaja, tetapi perlu kepada semua agensi terlibat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -