Anggota AMAL sentiasa serlahkan kebaktian dikagumi

- Advertisement -

IPOH: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) telah menerapkan tarbiyah pejuang dalam diri setiap anggotanya apabila mereka baik secara individu, apatah lagi berpasukan mampu muncul memberi khidmat bakti pada setiap situasi.

- Advertisement -

Baik dalam melancarkan perjalanan atau teknikal luaran sesuatu program serta bantuan khidmat tenaga bagi kerja tertentu, hinggalah kepada misi khas menangani situasi kecemasan akibat kemalangan atau musibah.

Lebih mengagumkan apabila khidmat yang diberikan sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat awam dan patuh berada di bawah arahan pasukan walaupun diri sendiri terlibat atau menjadi mangsa bencana.

Teladan seumpama itulah dapat disaksikan dari kepimpinan Komandan AMAL Kawasan Tambun, Ahmad Thaqif Hamzah yang mengetuai pasukannya membantu mangsa ribut dalam kejadian baru-baru ini.

Walaupun rumah keluarganya turut mengalami kerosakan pada bumbung dan struktur bangunan, beliau telah menggerakkan operasi membantu penduduk lain di Taman Tasek Damai yang dipukul ribut dan puting beliung.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri melahirkan rasa kagum dengan jiwa besar pasukan ‘semut merah’ itu yang ke lapangan bersama tekad berbakti membawa pelbagai kepakaran sepenuh keikhlasan.

Ribut puting beliung yang melanda sekitar bandaraya ini turut membadai Desa Seri Chepor Tambahan, Kampung Tawas dan Kampung Seri Klebang melibatkan lebih 300 kediaman penduduk rosak.

“Marilah sama-sama kita beramal kerana Allah, dan  kita bekerjalah sebaik mungkin membantu warga masyarakat kita yang ditimpa musibah. Insya-Allah mudah-mudahan Allah Taala gantikan dengan segala kebaikan kepada kita,” ujar Hafez.

Katanya lagi, ujian ini tidak dijangka, namun bila mana berlakunya kejadian ini, buatlah sebaik mungkin untuk membantu meringankan beban masyarakat.

Turut hadir menziarahi mangsa ribut adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Perak, Misbahul Munir Masduki. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -