Permudah usahawan MEDAC mohon pinjaman

Noh Omar (tiga dari kanan) dan Abu Hasan (tiga dari kiri) serta (dari kiri), Abdul Halim, Norliah, Zamri dan Abdul Fattah pada majlis pelancaran Aplikasi dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2022.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meminta agensi di bawahnya memudahkan proses pinjaman usahawan yang sudah diiktiraf agens-agensi lain di bawah kementerian tersebut.

Menterinya, Dato’ Seri Noh Omar berkata, usahawan yang berjaya serta diiktiraf agensi di bawah MEDAC tidak sepatutnya dilayan seperti usahawan baharu, kerana tindakan itu seolah-olah agensi tidak yakin dengan usahawan yang diiktiraf agensi lain di bawah MEDAC.

- Advertisement -

“Jika usahawan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disahkan sebagai berjaya, dan hendak membuat pembiayaan melebihi RM30,000, AIM hanya dapat beri pembiayaan maksimum RM30,000, tidak lebih daripada jumlah itu.

“Jadi, usahawan ini perlu memohon pembiayaan dari TEKUN Nasional. TEKUN pula apabila tengok sokongan AIM, tidak perlu meminta pelbagai dokumen lagi.

“Begitu juga apabila usahawan TEKUN mahu memohon pinjaman berjumlah RM1 juta atau RM2 juta. TEKUN juga perlu membuat pengesahan dan syor kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula dan PUNB perlu permudahkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) di sini semalam.

Turut hadir ialah Presiden DPUKM, Dato’ Seri Abu Hasan Mohd Nor; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha MEDAC, Dato’ Zamri Salleh; Presiden Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa), Dato’ Abdul Fattah Abdullah; dan Setiausaha Agung DPUKM, Datin Seri Norliah Che Mohamad.

Menurut Noh lagi, hal sama juga berlaku kepada usahawan yang dilatih Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di bawah MEDAC.

“Sijil INSKEN diiktiraf dan sah. Justeru, apabila agensi di bawah MEDAC melihat permohonan daripada individu yang memiliki sijil tersebut, beliau berharap agensi dapat meluluskan pembiayaan tanpa perlu melalui pelbagai urusan dan soalan lain,” katanya.

Terdahulu, Noh melancarkan Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang HUN bersempena HUN 2022 yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 24 Mac sehingga 28 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebanyak 2,000 lot pameran disediakan sepanjang HUN 2022 dengan kira-kira 300 lot pameran diperuntukkan buat usahawan luar negara.

Sementara terdapat 100 pameran khas disediakan untuk selebriti tempatan. Sebarang maklumat lanjut berhubung HUN 2022 boleh layari www.hariusahawannegara.com.myHARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -