Terengganu telah laksana 99 peratus projek pertanian

Dr Azman melawat pameran ternakan pada Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
- Advertisement -

BESUT: Sebanyak 93 daripada 94 program yang disenaraikan dalam kalendar Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021 dengan peruntukan RM2,951,380 telah dijayakan pelaksanaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan negeri telah melaksanakan lebih 99 peratus daripada program yang tersenarai dalam kalendar TPT 2021 dengan manfaat langsung kepada rakyat.

“Daripada jumlah 45 projek pembangunan dalam kalendar TPT 2021, kerajaan negeri telah berjaya melaksanakan kesemua 45 projek melibatkan peruntukan RM12,436,335,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Dataran Pekan Jabi, di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, pada tahun 2018, ketika pemimpin kerajaan negeri mula memikul amanah berat itu, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Terengganu ialah -2.5 peratus iaitu berada di bawah paras sifar.

“Lalu kami merancang gerak kerja sebaiknya dan menyusun PSPNT 2019-2023 sebagai suatu pelan bertindak lima tahun untuk sektor pertanian Terengganu.

“Hasilnya nampak segera dapat dituai. KDNK sektor pertanian meningkat kepada 6.5 peratus pada tahun 2019 seterusnya menjadi penyumbang utama kepada peningkatan KDNK negeri di samping sektor perkhidmatan,” jelasnya.

Tambahnya, untuk membentuk momentum pergerakan yang lebib laju dan mantap, tahun 2021 telah diisytiharkan sebagai TPT dengan objektif besar untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluaran makanan negara.

Beliau juga berkata, tukun sebanyak 58 unit bernilai RM1.069 juta telah selesai dilabuhkan di perairan negeri untuk manfaat nelayan.

“Team kami meredah laut dengan gelombang angin Tenggara bulan Oktober untuk nak selesaikan proses labuh tukun ini dari Kemaman sampai ke Besut,” ujarnya.

Katanya lagi, para nelayan di Jeti Kampung Batin Seberang Takir, Kampung Tok Fakir Merchang, Kampung Fikri dan Kampung Geliga, Kemaman yang sekian lama menggunakan kemudahan jeti kayu yang uzur, merbahayakan serta berisiko telah ditukar dengan jeti konkrit yang kukuh.

Beliau berkata, bagi nelayan pantai yang tidak cukup modal hendak membeli peralatan, kerajaan negeri membelanjakan RM300,000 bagi bantuan peralatan untuk nelayan zon A seperti fishfinder, peralatan memancing, kawat bubu dan pukat tangsi.

Tambahnya, ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil akuakultur tidak dapat dipasarkan di mana kerajaan memperuntukkan RM200,000 untuk menyalurkan bantuan makanan ikan kepada 700 penternak akuakultur air tawar dan air payau yang berdaftar seluruh negeri.

Beliau turut menyentuh kawasan sawah padi Kampung Pengkalan Nangka, Kampung Bharu dan Tok Saboh berjumlah ribuan ekar yang terbiar disebabkan kerosakan empangan sejak 2012, kini berjaya dihijaukan kembali.

“Projek yang telah memberi impak besar kepada petani dan penghasilan makanan negeri,” ujarnya yang juga Adun Jabi.

Tambhanya, pesawah di Skim Pengairan Che Mohid Setiu yang sekian lama berhadapan masalah pengairan, akhirnya diselesaikan dilema mereka dengan pembinaan empangan low weir dengan peruntukan kerajaan negeri menjadikan 200 hektar tanah sawah kembali subur menghijau.

Secara dasarnya, ujar beliau kawasan penanaman padi aktif terutama yang berada dalam kawasan Jelapang Padi IADA Ketara adalah perlu dikekalkan sebagai sawah padi demi kelangsungan sumber bekalan makanan negeri.

“Ketika penanam tembikai tak dapat pasarkan hasil dari lebih 200 ekar kebun disebabkan PKP pada Mac 2020, kerajaan negeri belanja lebih RM200,000 untuk beli hasil tembikai dan buka lebih 40 outlet jualan untuk bantu pemasaran,” ujarnya lagi.

Di samping itu, katanya pelaksanaan pelbagai program dan bantuan dari Januari-November 2021 telah memberi manfaat kepada seramai 3,447 petani, 622 penternak dan 1,880 nelayan dengan nilai RM3,051,380.

Tambahnya, program-program dalam PSPNT 2019-2023 disasarkan menjadi suatu solusi meringankan beban rakyat dengan objektif besar meningkatkan food security negeri.

Beliau berkata, usaha-usaha kerajaan negeri mula menampakkan hasil dengan peningkatan SSL makanan ruji padi di mana pada tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus) dan 2020 (53 peratus). SSL 2021 mencapai 55.8 peratus.

Azman turut menyatakan tentang projek perumahan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga tapak Besut, Setiu dan Kemaman.

Menurutnya, ppembinaan 50 unit rumah di setiap tapak dengan kos RM24 juta iaitu RM13 juta daripada peruntukan LKIM dan baki RM11 juta dari peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, PSN Kemaman dan Besut telah dibuat majlis pecah tanah pada 30 Disember 2021 dan 23 Januari 2022 seterusnya akan disusuli majlis pecah tanah untuk Setiu.

“Alhamdulillah, perancangan PSN yang bermula dari Mei 2017, akhirnya bakal berjaya dilaksanakan pada tahun 2021.

“Orang kata pelawok (bohong) rumah harga RM145,000 nak jual kepada rakyat dengan harga RM54,000 sahaja. Tak percaya tak apalah.

“Kita beri kepada orang yang nak dan percaya. Rumah pun bukan banyak. Ada 150 unit sahaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -