Aktivis PAS Melaka dipelawa ikuti Diploma ILHAM

Ustaz Imran Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Aktivis PAS Melaka dipelawa untuk mengikuti kursus Diploma Tasawwur Islam anjuran Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) di bawah Lajnah Tarbiah dan Perkaderan (LTP) negeri.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS negeri, Ustaz Imran Abdul Rahman, pengajian diploma yang bakal memulakan kuliah pada Februari ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang agama yang menjadi asas perjuangan parti.

“Diploma ini sudah lama diperkenalkan untuk meningkatkan ilmu Islam pada pimpinan dan ahli-ahli PAS. Sesuai dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh parti ini.

- Advertisement -

“Jadi kita mahu aktivis-aktivis PAS Melaka sertai diploma ini. Aktivis-aktivis PAS negeri ini harus merebut peluang ini. Daftar segera. Kita nak mula kelas Februari ni,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS negeri menambah, pengajian diploma itu akan berlangsung selama dua semester iaitu semester Februari hingga Mei dan semester Julai hingga November.

“Setiap semester itu ada empat kali sahaja kuliah iaitu sekali setiap bulan. Sekali kuliah tu hanya sehari daripada 8.30 pagi hingga 6.30 petang pada hari Ahad minggu keempat setiap bulan.

“Yuran pendaftaran RM200 dan yuran bulanan ialah RM100 sahaja. Kuliah adalah selama empat bulan bagi setiap semester,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, untuk pengambilan kali ini ILHAM Melaka menyasarkan sekurang-kurangnya lima orang peserta dari setiap kawasan dengan jumlah keseluruhan seramai 30 orang peserta.

“Setakat ni kita sasarkan ahli Jawatankuasa PAS kawasan-kawasan. Mereka kena hantar lima orang daripada setiap kawasan.

“Tapi kalau lebih daripada itu lebih baik. Jika lebih 30 orang kita akan buka lebih daripada satu kelas jika dapat sambutan yang di luar jangkaan,” ujarnya.

Selain itu, Ustaz Imran turut memaklumkan pelantikan mantan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Aziah Mohd Sa’ad sebagai Ketua ILHAM Melaka berkuat kuasa bulan ini. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -