PAS berjaya pecah pemikiran ‘politik suku, agama suku’

Kredit foto: Alternative Photography Club (APC) Penang

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KEPALA BATAS: Kejayaan PAS paling ketara adalah apabila berjaya memecahkan pemikiran masyarakat Islam di negara ini yang satu masa lalu menyifatkan Islam dan politik adalah dua perkara yang mesti dipisahkan.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, masyarakat Islam lalu terlalu dipengaruhi dengan fahaman sekularisme sehingga muncul pandangan ‘politik suku, Islam suku’.

“Kalau kita lihat kejayaan PAS dari sudut dakwah politik Islam, tahun 70-an hingga 80-an pemikiran sekularisme sangat menebal dalam masyarakat Melayu Islam sehingga mereka berani bermain-main dengan hukum jenayah Islam.

Advertisement

“Sebahagian besar daripada mereka kini sudah meninggal dunia, namun PAS tidak pernah berputus asa.

“Kita luluskan enakmen akta jenayah syariah Islam di Kelantan dan Terengganu. Ramai yang menentang, namun PAS mempunyai matlamat yang jauh.

“Matlamat kita ialah kejayaan dakwah Islam sebab itulah dalam tempoh jangka panjang, hari ini kita tidak kedengaran lagi mereka yang kata ‘Islam suku politik suku’,” kata Ustaz Khalil.

Katanya, Presiden PAS turut merakamkan kejayaan PAS adalah beristiqamah atas prinsip Islam.

Mengulas lanjut katanya, sebagai contoh atas prinsip Islam yang diperjuangkan PAS, parti itu dikeluarkan daripada gabungan Pakatan Rakyat.

“Contoh paling jelas ketika kita bersama dengan Pakatan Rakyat, walaupun kita dihimpit kiri dan kanan, diserang di setiap penjuru dan dipaksa meninggalkan prinsip Islam yang kita perjuangkan, namun kita tetap istiqamah dengan prinsip Islam sehingga kita ‘diceraikan’ daripada Pakatan Rakyat.

“Mereka yang gopoh turut meninggalkan PAS lalu menubuhkan parti baharu dan bersama dengan Pakatan Harapan,” ucap Ustaz Khalil.

Beliau berkata demikian sebagai pembentang kertas kerja untuk program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2022 yang diadakan di Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY), dekat sini, semalam.

Program yang diadakan secara tertutup dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), turut dihadiri Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abd Rahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Ustaz Yusni Md Piah, wakil-wakil PAS kawasan di Pulau Pinang dan ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang.

Pada program terbabit turut diadakan sesi soal jawab dan pelancaran buku Tahaluf Siyasi dalam Politik Dakwah karangan Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden. – HARAKAHDAILY 16/1/2022