Malaysia sentiasa terbuka untuk pelaburan asing

- Advertisement -

INI MERUPAKAN antara jaminan yang saya berikan kepada lebih 40 kapten industri dari 10 buah negara pada Majlis Makan Tengah Hari Perangkaian Pemulihan Negara di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Majlis ini disertai pengurusan kanan syarikat multinasional seperti seperti Ericsson dan Elekta dari Sweden, Lulu Group dari UAE dan Saudi Aramco dari Arab Saudi. 

- Advertisement -

Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya telah berkongsi usaha pemulihan pasca pandemik COVID-19 serta tindakan merangka Pelan Pemulihan Negara 2.0, mengambil kira kesemua negeri telah beralih ke Fasa 4 PPN. Saya juga menyentuh persediaan Malaysia dalam usaha untuk menarik pelaburan antarabangsa. 

Di Expo 2020 Dubai, saya mengunjungi Pavilion Malaysia yang direka oleh firma tempatan Hijjas Arkitek and Partners. Expo ini merupakan siri expo dunia yang diadakan setiap 5 tahun dan berlangsung selama 6 bulan. Ia menjadi platform untuk Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa. 

Sehingga kini, Malaysia telah berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM35.2 bilion di expo ini melalui 71 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat. Tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atas kejayaan menganjurkan Pavilion Malaysia yang telah menarik perhatian lebih 500,000 pengunjung sehingga hari ini. 

Penyertaan Malaysia di expo ini telah mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE, susulan lawatan rasmi saya selaku Perdana Menteri pada Mac 2021. UAE merupakan rakan dagang dan destinasi eksport terbesar Malaysia dalam kalangan Majlis Kerjasama Teluk ataupun Gulf Cooperation Council (GCC). 

Saya juga mengucapkan mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat UAE sempena ulangtahun ke-50 Emiriah Arab Bersatu, #YearoftheFiftieth yang disambut pada Disember lepas. 

Semoga hubungan erat kedua buah negara terus dipertingkat untuk 50 tahun ke hadapan demi manfaat kemakmuran bersama, insyaAllah

YB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi
Majlis Pemulihan Negara – HARAKAHDAILY 14/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044225926298/posts/490429835774543/

- Advertisement -