SRI Al Munawwarah empat kali alami banjir sejak Okt

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

ALOR GAJAH:
Bangunan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Munawwarah, Durian Tunggal sudah empat kali dinaiki air semenjak Oktober tahun lepas, kata guru besarnya, Noriah Sudin.

Menurut beliau, di antara keempat-empat kejadian itu, paras air naik paling tinggi pada kejadian banjir terbaru yang bermula pada Sabtu, 1 Januari lepas.

- Advertisement -

“Kali ni paling teruk, paling tinggi air naik. Saya rasa dalam empat kaki (tinggi) juga. Dah sampai ke tingkap. Mulanya siang hari Jumaat tu dah hujan, tapi air belum naik lagi. Malam tu air mula naik.

“Hari Sabtu tu air dah penuh (banjir). Daripada hari Sabtu tu air naik, semalam (Rabu) baru air surut. Sebab cuaca tak panas dan hujan pun ada turun lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa sesi gotong-royong membersihkan bangunan dan kawasan sekolah oleh dikendalikan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Alor Gajah, di sini, petang semalam.

Tambah beliau, kawasan sekolah yang ditadbir oleh Pertubuhan Kebajikan Dan Pendidikan Al Munawwarah Negeri Melaka mula dilanda banjir semenjak kerajaan membina kolam takungan air berhampiran kawasan sekolah beberapa tahun lepas.

“Sepatutnya kawasan sekolah ni terlibat untuk kolam takungan air itu, tapi akhirnya tanah ini tidak diambil. Jadi tak hairan kawasan sekolah ini banjir setiap kali hujan lebat sebab berada di sebelah dan separas dengan kolam takungan ni.

Noriah Sudin

“Seolah-olah sekolah ni dalam kolamlah. Banjir ni mula berlaku seingat saya sekitar tahun 2008 selepas wujudnya kolam takungan ni,” ujar Noriah, 64, yang juga merupakan pesara guru besar sekolah kebangsaan di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Katanya lagi, jumlah kerugian terkumpul ditanggung pihak sekolah akibat keempat-empat kejadian banjir yang berlaku semenjak Oktober lepas melebihi RM10 ribu.

“Kerusi meja guru rosak, perabot-perabot yang dibuat dari kayu semua rosak. Itu pun sebab dah beberapa kali banjir, jadi kita dah buat rak para yang tinggi sedikit letak barang-barang. Jadi untuk banjir kali ini kita dapat kurangkan kerosakan.

“Tapi bukan semua boleh letak dekat para tu. Yang ada di bawah tu semua rosak. Banyak juga kerusi meja pelajar yang materialnya plastik tapi hanyut entah ke mana,” ujarnya.

Menurutnya sekolah yang mempunyai 90 orang murid dan 14 orang guru sebenarnya mempunyai potensi memandangkan pencapaian pelajar-pelajarnya yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

“Keputusan UPKK yang terbaru ni daripada 12 orang pelajar kita ambil perperiksaan ni, enam orang dapat keputusan 8A. Yang selebihnya pun baik juga, ada yang dapat 7A, ada yang 6A,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi menampung kos membaik pulih dan membeli semula peralatan-peralatan yang rosak dan mereka yang sudi menyumbang boleh menghubungi pihak sekolah. – HARAKAHDAILY 7/1/2022

- Advertisement -