Keselamatan rakyat keutamaan kerajaan negeri

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyelaraskan bantuan secepat mungkin termasuk kepada waris yang meninggal dunia akibat banjir.

Bantuan tersebut sebanyak RM10,000 seperti diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ketua Menteri Dato’ Seri Panglima Hajiji Noor berkata, insentif lain termasuk pembelian barang keperluan, baucar membaiki kenderaan dan bantuan kerosakan rumah.

- Advertisement -

Manakala mangsa banjir pula mendapat sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 dan bakul makanan bagi setiap ketua isi rumah (KIR).

“Usaha kerajaan tersebut bagi meringankan sedikit beban mangsa-mangsa bencana banjir yang berada di pusat penempatan sementara (PPS),” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Dewan SK Pekan Pitas 2 dan PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.

Hajiji turut meninjau sebahagian kawasan yang dilanda bencana banjir melalui udara.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Kata beliau setiap agensi akan terus memainkan peranan dalam menghadapi bencana sekarang.

Beliau turut merakam penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi yang terlibat dalam memastikan usaha perpindahan penduduk yang menjadi mangsa banjir berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 7/1/2022

- Advertisement -