Tangani gejala sosial, peluang kerja fokus Kelantan 2022

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan membuka tirai tahun 2022 dengan perancangan untuk menangani gejala sosial, meningkatkan kebersihan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkara tersebut merupakan tiga tumpuan selepas Kelantan mula memasuki Fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

- Advertisement -

Menurutnya perancangan yang dilakukan sejak dua tahun lalu banyak terjejas kerana penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perancangan itu menghadapi masalah kerana pelaksanaan PKP. Jadi selepas ini kita harap selepas Kelantan memasuki fasa 4 tumpuan kepada semua perkara ini dipertingkatkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2022 di Dewan Jamuan Utama Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad.

Menurut Ahmad dalam usaha menangani gejala sosial, kerajaan negeri merangka Pelan Tindakan Strategik (PTS) Menangani Gejala Sosial serentak dengan penubuhan Majlis Sosial Kerajaan Negeri.

“Penubuhan majlis itu bakal dijadikan satu wadah bagi pelaksanaan dan perancangan bersama agensi Pusat dan negeri untuk menterjemahkan lagi agenda Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Manakala komitmen kerajaan negeri aspek kebersihan dan keceriaan diterjemahkan pada Belanjawan 2022 dengan memperuntukkan sebanyak RM11.2 juta.

Menurutnya pelancaran kempen Kelantanku Bersih diharap dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan kebersihan setiap anggota masyarakat.

Kata beliau juga perancangan Bandar Perabot di Gua Musang, Ladang Solar dan Zon Industri Akuakultur di Danau Tok Uban Pasir Mas serta Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Machang mampu menawarkan 10,000 peluang pekerjaan. – HARAKAHDAILY 6/1/2022

- Advertisement -