Guna mahkamah wajar selepas Pulau Pinang enggan layan

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Tindakan kerajaan Kedah melantik panel peguam untuk mengurus berkaitan tuntutan caj air mentah terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang dianggap wajar dan kena pada masanya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu mengikut lunasnya selepas surat tuntutan yang dihantar tidak dilayan.

- Advertisement -

“Bukan sehari dua Kedah menuntut caj air mentah daripada kerajaan Pulau Pinang, malah sejak zaman almarhum Dato’ Seri Azizan Abdul Razak lagi.

“Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang buat-buat tidak faham,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 1 Januari lalu, Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu kerajaan negeri melantik panel peguam untuk mengurus isu tuntutan caj air mentah terhadap Kerajaan Pulau Pinang.

Pulau Pinang difahamkan menyendup sehingga 1,200 juta liter sehari (Mld) air dari Sungai Muda yang dipam ke Empangan Mengkuang. Selepas itu disalurkan ke bahagian pulau.

Sedangkan Kedah hanya menggunakan 780 Mld sumber air sama. Malah dalam kes di Australia dan Kanada, semua negeri di negara berkenaan membayar kos penyelenggaraan kepada negeri yang mempunyai kawasan tadahan air.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, langkah kerajaan Kedah tersebut jelas membuktikan kerajaan negeri serius bagi menyelesaikan tuntutan tersebut.

Katanya Kedah mempunyai hak untuk menuntut royalti sebanyak RM50 juta setahun seperti yang disebut sebelum ini, memandangkan kos-kos penyelenggaraan sungai dan sumber air tanggungjawab kedua-dua negeri.

“Hal itu (penyelenggaraan sungai dan sumber air) merupakan perkara asas tuntutan dan tanggungjawab bersama. Malah tuntutan Kedah sangat berasas kerana tanggungjawab itu yang dipikul Kedah sekarang.

“Sumber air tidak akan terhasil sekiranya tiada hutan simpan dan penjagaan sungai. Semua itu memerlukan kos penyelenggaraan,” tambah beliau.

Oleh itu katanya selepas rundingan dan perbincangan tidak berjaya, maka wajar kaedah perundangan digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -