Tangguh sementara umrah selari kaedah fikah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Tidak mustahil akan berlaku gelombang baru pandemik Covid-19 di negara kita sekiranya kerajaan tidak tegas mengawal penularan varian baru Omicron.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob berkata, jangkitan Covid-19 di seluruh dunia masih belum pulih sepenuhnya dan sekarang ditambah pula penemuan virus lebih bahaya.

- Advertisement -

Katanya, penularan virus tersebut dikatakan membabitkan ramai jemaah umrah.

“Perkara ini bukan sahaja mengancam nyawa jemaah umrah, malah ahli-ahli keluarga selepas mereka pulang ke tanah air daripada menunaikan umrah,” katanya di sini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob

Pada Sabtu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan penangguhan sementara ibadat umrah bermula 8 Januari ini berikutan penularan virus Omicron.

Berikutan itu, pelbagai pihak membidas langkah kerajaan tersebut memandangkan sempadan negara baru dibuka ekoran penularan Covid-19 sebelum ini.

Idris juga berkata, tindakan kerajaan tersebut bertepatan dengan Maqasid Syariah Islam dan selari kaedah fikah.

Kata beliau, sekiranya wabak itu dibiarkan ia dibimbangi akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan rakyat dan kesan ekonomi negara.

“Menolak mudarat lebih besar diutamakan daripada mengambil kebaikan atau manfaat yang kecil. Mereka yang mengerjakan umrah terdiri daripada pelbagai negara dan bangsa.

“Ia menyebabkan kebarangkalian virus boleh berjangkit walaupun jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Menurutnya juga, penangguhan sementara yang diputuskan kerajaan tentunya setelah mempertimbangkan pelbagai sudut demi menjaga kemaslahatan rakyat dan negara.

“Pihak kerajaan tentu sekali telah mengambil kira keadaan terkini, oleh itu semua pihak perlulah bersabar dan kembali kepada ketentuan qada dan qada Allah SWT.

“Kerajaan juga perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik kepada jemaah dan syarikat umrah bagi mengelakkan terjejas operasi syarikat terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -