Oleh RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) Kelantan turun padang membantu mangsa-mangsa banjir termasuk masyarakat Cina dan India di Pahang.
Pengerusi RehdaCare Kelantan Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, tanggungjawab itu dipikul pihaknya bagi membantu keluarga mangsa banjir di Mentakab baru-baru ini.
Katanya sukarelawan RehdaCare memberi bantuan perkhidmatan membersih kediaman penduduk terbabit bagi meringankan bebanan mereka.
“Mereka juga diberi bantuan keperluan asas termasuk makanan dan pakaian. Tugas kami merentasi kaum dan agama bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.
“Keakraban itu secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi ukhwah sesama manusia. Ia juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia. Malah mangsa banjir amat menghargai segala penat lelah kami,” katanya di sini.
Menurutnya misi bantuan banjir berkenaan melibatkan lebih 30 ahli RehdaCare Kelantan yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rehda di lokasi ditimpa bencana banjir.
Beliau juga berkata, RehdaCare mengutamakan kebajikan mangsa-mangsa banjir berkenaan kerana mereka memerlukan sokongan moral untuk memulakan kembali kehidupan baharu.
“Inilah masanya kita berganding bahu sebagai rakyat Malaysia membantu mereka walaupun berlainan agama dan bangsa.
“Bantuan kebajikan tidak boleh memilih kaum, bangsa dan agama kerana ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2022