Pengurusan organisasi sistematik hasilkan gerak kerja mantap

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

SEREMBAN: Penyelarasan pengurusan organisasi yang sistematik dapat menghasilkan gerak kerja yang mantap, kata Pengerusi Lajnah Pemerkasaan PAS, Lina Md Jadi.

Beliau berkata demikian dalam Program Retreat Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan (DMPN9) yang dilaksanakan pada Sabtu.

Advertisement

Dalam program yang dijalankan bertempat di Pejabat Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, seramai 40 orang wakil daripada lajnah-lajnah DMPN9 serta wakil Dewan Muslimat Kawasan telah dibekalkan dengan ilmu pengurusan organisasi.

Kandungan retreat disampaikan Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Norazlin Md Samsudin. Antara perkara yang ditekankan adalah perancangan Pelan Tindakan Strategik organisasi, perlaksanaan serta pelaporannya.

“Harapan saya semoga DMPN9 terus mara ke hadapan dengan pelan tindakan strategik yang telah disemak dan ditambah baik daripada sesi lepas,” ujar Norazlin.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada DMPN9 ataas penganjuran retreat dan merakamkan harapannya agar DMPN9 terus konsisten berjiwa besar dalam memuhasabah gerak kerja sendiri serta menerima teguran.

“Ruang penambah baikan gerak kerja adalah ruang yang sentiasa terbuka luas,” ujarnya lagi.

Dalam program itu juga, dilaksanakan Majlis Penyampaian Watikah Dan Serahan Tugas yang disempurnakan oleh Naib Ketua DMPN9, Patimah Bahaudin. Seramai 31 orang ahli jawatan kuasa telah menerima Watikah Pelantikan dan Serah Tugas. – HARAKAHDAILY 4/1/2021