Perlu banyak inovasi bantu pengurusan bencana

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Kecanggihan teknologi sekarang banyak membantu Operasi Pengurusan Bencana Banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Imej satelit kawasan banjir yang disediakan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan inovasi penyerapan air banjir antara contoh teknologi moden yang bertujuan untuk mengurangkan banjir.

Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Sabah Asrul Asmat bagaimanapun berkata, lebih banyak inovasi yang diperlukan untuk menambahbaik pengurusan bencana di negara ini.

- Advertisement -

Katanya, inovasi pengurusan banjir perlu dipergiatkan khasnya beberapa aspek termasuk digitalisasi pengurusan data di Pusat Pemindahan Sementara dan peralatan yang digunakan semasa dan selepas bencana.

“Inovasi teknologi juga perlu dalam menguruskan bahan buangan untuk mengurangkan risiko bencana sekaligus memelihara alam sekitar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga penyertaan program seperti MyHackathon yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu diperluaskan dan disasar agensi kerajaan dan swasta.

Kata beliau MyHackathon juga sesuai didedahkan di institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran.

“Program tersebut bertujuaan mengetengahkan idea yang lebih bernas serta produk inovasi yang boleh dimanfaatkan rakyat Malaysia,” katanya.

MyHackathon 2020 merupakan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara di bawah MOSTI dan agensinya Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).

Sebanyak 18 penyelesaian berjaya dibangunkan daripada pernyataan masalah yang dikenal pasti di semua peringkat kerajaan. – HARAKAHDAILY 29/12/2021

- Advertisement -