Agamawan turun padang beri bimbingan mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 diagih kepada penerima membabitkan mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu mangsa yang terjejas banjir, namun tidak berpindah ke PPS.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagi mangsa yang tidak berpindah, penghulu diminta mengenal pasti mangsa terlibat.

“Diharap bantuan yang diberikan dapat meringan beban mangsa banjir memandangkan ramai rakyat terkesan, selain majoriti penduduk bekerja kampung seperti menoreh getah dan sebagainya.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir dapat dijaga sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan tersebut di Sekolah kebangsaan Gual Tinggi, di sini hari ini.

Bantuan Wang Ihsan itu turut disampaikan kepada 700 penerima, di mana setiap keluarga menerima sebanyak RM1,000.

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, bantuan RM10,000
kepada keluarga mangsa banjir yang meninggal dunia boleh dibuat permohonan segera oleh waris terdekat.

Menurutnya proses mengenal pasti dilakukan dengan memaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab termasuk pegawai daerah (Ketua Jajahan) atau penghulu berdekatan.

“Bantuan itu akan diberi selepas ia dikenal pasti dan selesa proses pengesahan berhubung kematian yang terlibat dengan bencana banjir.

“Kita menggalu-alukan mana-mana waris mangsa banjir yang terlibat supaya segera memaklum kepada pihak berkuasa.

“Peruntukan sudah ada, cuma kita ingin kenal pasti mereka yang layak atau tidak selepas mendapat pengesahan termasuk daripada doktor dan sebagainya,” katanya.

Siti Zailah juga berkata, setakat ini lebih 900 kaunselor turun padang bagi memberi motivasi kepada mangsa yang mengalami trauma akibat banjir baru-baru ini termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM).

Katanya, JKM dengan kerjasama strategik Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara menghantar lebih 10,000 sukarelawan ke negeri yang terlibat banjir sepanjang tempoh tersebut.

“Kami turut mengalu-alukan golongan agamawan turun padang memberi motivasi atau bimbingan kepada mangsa banjir bagi memberi keyakinan kepada mereka di atas bencana yang berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/12/2021

- Advertisement -