Rahsia mumia Amenhotep I akhirnya terbongkar

- Advertisement -

KAHERAH: Mesir secara digital berjaya `membuka’ mumia Firaun Amenhotep I yang terkenal, sekali gus mendedahkan rahsianya buat kali pertama sejak ditemui pada 1881 tanpa perlu mengusik walaupun sedikit balutan yang melilit jasadnya.

Teknologi maju imej digital 3D membolehkan penyelidik mencungkil proses pembuatan mumia yang digunakan kepada Amenhotep I yang memerintah Mesir antara 1525 hingga 1504 Sebelum Masihi (SM).

- Advertisement -

Penyelidikan diketuai Profesor Radiologi Universiti Kaherah, Dr Sahar Saleem dan pakar berkaitan Mesir, Zahi Hawass yang juga mantan Menteri Antikuiti Mesir.

“Dr Sahar dan Zahi menggunakan teknologi sinaran X, imbasan Tomografi Berkomputer (CT) serta program perisian komputer termaju untuk membuka mumia Amenhotep I secara digital dalam keadaan selamat dan tanpa sebarang sentuhan,” kata Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir dalam satu kenyataan, semalam.

Kajian mendedahkan buat kali pertama wajah Amenhotep I, umur, keadaan kesihatan serta rahsia proses pengawetan mumia yang unik dan pengebumiannya.

“Kita dapat melihat wajah raja yang dibungkus lebih 3,000 tahun lalu. Perkara pertama yang menarik perhatian ialah wajah Amenhotep I menyerupai wajah bapanya, Ahmose I, iaitu Firaun pertama dinasti Mesir purba dengan dagu runcing, hidung kecil, rambut kerinting dan gigi atas yang sedikit menonjol,” kata Dr Sahar.

Dr Sahar bersama mumia Amenhotep I yang berjaya `dibuka’ secara digital

Pengkaji juga mendapati ketinggiannya ialah kira-kira 169 sentimeter (5 kaki 6 inci) dan berumur 35 tahun ketika mati.

Dr Sahar berkata, imbasan juga menunjukkan Amenhotep I mempunyai keadaan fizikal yang sangat baik dan sihat ketika mati, tanpa sebarang tanda kecederaan atau kecacatan akibat penyakit, sekali gus punca kematiannya kemungkinan akibat jangkitan atau virus.

Analisis menunjukkan bahawa Amenhotep I adalah Firaun pertama yang menjalani proses mumia dalam keadaan tangan bersilang dan yang terakhir, otak tidak dikeluarkan dari tengkorak kepala.

Mumia Amenhotep 1 yang ditemui di Luxor, selatan Mesir, 140 tahun lalu, adalah satu-satunya Firaun yang lilitan ketat membaluti jasadnya tidak dibuka oleh arkeologis dalam usaha mengekalkan penutup muka dan lilitan kalungan bunga yang seperti rambut. – AFP/BBC

- Advertisement -