Khatan Perdana sebar hikmah sunnah Rasulullah

- Advertisement -

KLUANG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Kluang telah menganjurkan Majlis Berkhatan Perdana yang bertempat di Balai Raya Kampung Bentong Dalam, di sini kelmarin dulu.

Majlis berkhatan ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat mengenai kebersihan fizikal anak-anak dan memperkenalkan PAS serta Jabatan Amal Malaysia kepada masyarakat awam.

- Advertisement -

Pengarah Majlis Berkhatan Perdana, Muhammad Nazirul Munir berkata, program diadakan PAS Kluang ini juga bagi meringankan beban ibu bapa khususnya golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

“PAS Kluang amat prihatin terhadap asnaf di sekitar Kluang. Dengan adanya program seperti ini, dapat membantu menaja anak-anak asnaf yang kurang berkemampuan supaya dapat bersama-sama mengikuti program berkhatan ini.

“Ia juga sebagai menyemarakkan sunnah Rasulullah SAW berkenaan tuntutan Islam serta amalan kebersihan diri seorang Muslim yang diterapkan sejak usia kecil dan melangkahnya anak-anak ke alam kematangan,” ujarnya.

Majlis Berkhatan ini dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kluang, Khairul Anuar Ahmad Kamil yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana (Khidmat Malaysia) Negeri Johor.

“PAS Kluang merasakan program ini wajar diteruskan dengan kerjasama dari wakil penduduk setempat serta agensi kerajaan yang berkaitan. 

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang kerana memberikan kebenaran menganjurkan program ini,” ujar Khairul Anuar.

Seramai 23 peserta dalam kalangan pelajar SRITI, PASTI dan penduduk Kampung Bentong menyertai majlis berkhatan ini. 

Mereka di khatankan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Negeri Johor, Jubri Selamat yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Daerah Kluang dan Klinik Kesihatan Simpang Renggam.

Turut hadir Yang dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Naib Yang Dipertua PAS Kluang, Muhammad Aliffudin Ramlee serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bentong, Zailan Kadir. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -