Lajnah Kesihatan DMPM beri khidmat sokongan psikologi kepada mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh NUR ASYIKIN HASNAN

HULU LANGAT:
Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKDMPM), Dr Reen Mohd Amin, bersama-sama Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor yang diketuai oleh Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan telah turun padang menziarahi mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan Hulu Langat.

Mereka telah mula pulang ke rumah masing-masing untuk tujuan pembersihan pasca banjir.

Misi itu turut disertai oleh Timbalan Pengerusi LKDMPM, Dr Afizah Salleh, Setiausaha LKDMPM, Dr Wani Abi Dzar, pakar perubatan keluarga daripada MusMedik Selangor, dua orang pembantu perubatan, serta 40 orang muslimat yang bersedia untuk membantu warga Hulu Langat dalam kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

- Advertisement -

Dalam misi kali ini, Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS bukan sekadar menjalankan pemeriksaan kesihatan fizikal, malah menawarkan khidmat psychological first aid (PFA) yang memberi fokus kepada sokongan emosi dan psikologi mangsa-mangsa banjir.

Bencana banjir pada kali ini bukan sekadar menatijahkan kemusnahan harta dan infrastruktur, malah memberi impak kepada emosi dan psikologi mangsa.

Hujan lebat berterusan, air banjir yang deras, paras air yang meningkat dalam waktu yang singkat, serta terpisah dengan ahli keluarga menyebabkan kesan trauma terhadap mangsa banjir.

Ada yang terpaksa naik ke bumbung rumah untuk menyelamatkan diri, dan bertahan di atas bumbung dalam keadaan gelap, risau, ketakutan, dan kesejukan selama lebih enam jam.

Malah ada mangsa yang risau sekiranya bumbung rumah runtuh kerana lumpur tebal turut menyelaputi bumbung.

Puan Norasmawiah, seorang ibu tunggal turut menceritakan saat genting beliau menyelamatkan diri, ibunya yang sakit tua dan lima orang anak-anaknya.

Katanya, ketika air sedang naik, salah seorang anaknya yang masih menuntut di UKM cuba menyelamatkan komputer riba yang terkandung segala kajian tesis.

Walau bagaimanapun, anaknya hanyut dalam banjir dan tersangkut di pokok.

Beliau mengakui masih sedih dan trauma dengan apa yang terjadi, dan kini harus bangkit semula memulakan hidup baru dengan apa yang masih ada.

Kebanyakan mangsa banjir di kawasan ini turut mengalami masalah untuk mendapatkan Bantuan Wang Ihsan banjir yang dijanjikan pihak Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri.

Hal ini kerana, disebabkan banjir, kenderaan mereka rosak teruk dan mereka tiada pengangkutan untuk ke balai polis membuat laporan, bagi mengesahkan bahawa mereka adalah mangsa banjir.

Hal ini perlu ditangani segera, bagi membolehkan mangsa mendapatkan hak mereka.

Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia turut menyampaikan sumbangan kit medik kepada mangsa-mangsa banjir.

Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi Malaysia dari segala bencana dan bahaya, serta mengurniakan kesihatan dan kekuatan kepada semua mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 26/12/2021

- Advertisement -