Oleh NOR HAZWANI NOH
TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan penglibatan pegawai kaunselor daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam misi bantuan bencana banjir.
Timbalan menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata di setiap sekolah ada pegawai kaunselor yang boleh dimanfaatkan untuk membantu mangsa banjir.
“Kita harapkan pegawai kaunselor di bawah KPM dapat memberi kerjasama bersama kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka saling membantu bagaimana nak menangani masyarakat terutama menghadapi trauma dalam berdepan dengan bencana banjir yang besar ini,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya mempunyai Lembaga Kaunselor Malaysia di bawah KPWKM di mana pegawai-pegawai kaunselor ini ditempatkan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).
“Setiap pejabat masyarakat daerah ini ada kaunselor, di mana (mereka) juga ditempatkan di PPS. Tadi di Mentakab ada dua orang pegawai kaunselor di setiap PPS.
“Tetapi memang saya faham pegawai ini tidak mencukupi disebabkan PPS terlalu ramai dan banyak tempat, jadi terpaksa mereka bergilir-gilir bertugas,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Kompleks Tarbiah Darul Ansar, Lanchang di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut memaklumkan, JKM sudah berbelanja lebih RM10 juta untuk menyediakan makanan keperluan di semua PPS yang ada di seluruh negeri Pahang.
Menurutnya, bantuan itu tidak termasuk toto, tikar, peralatan-peralatan kit dan bakul makanan, RM10 juta itu hanya untuk makanan harian termasuk air minuman.
“Peranan JKM memberi makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan, satu kepala RM30 sehari, mangsa banjir di negeri Pahang ini ada lebih kurang 52,000 orang.
“Kalau ada lagi gelombang banjir, mungkin banyak lagi kos yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Jelasnya, sumber peruntukan berkenaan adalah daripada Kerajaan Persekutuan dan digabung dengan kerajaan negeri.
Pada sebelah pagi, beliau bersama pegawainya memantau pusat-pusat pemindahan dan tempat yang terkesan banjir.
Sebanyak 10 tempat yang dilawati antaranya Sekolah Kebangsaan Sungai Gau; Dapur Rakyat Sungai Gau; Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh; Bilik Operasi Khidmat Malaysia Temerloh di Surau Al-Khairiah; dan Depoh Mini PKMD Temerloh di Bukit Angin.
Turut melawat bilik operasi sementara PKMD Balai bomba dan Penyelamat Temerloh; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan; Sekolah kebangsaan Desa Bakti; Taman Mentakab Indah dan Taman Lanchang Indah.
Siti Zailah yang juga selaku pengerusi khidmat Malaysia berkata pihaknya telah berbincang di peringkat Putrajaya di mana akan menyelaraskan program bantuan di peringkat negeri dan daerah.
“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama dengan pengarah JKM negeri Selangor dan Pahang untuk menyelaraskan aktiviti di bawah Khidmat Malaysia.
Ini kerana, katanya isu yang ada di peringkat JKM kapasiti yang diperlukan dengan tenaga yang ada tidak seimbang.
“Contohnya di Temerloh, kita ada 88 pusat pemindahan sementara (PPS) sedangkan anggota yang ada 32 orang. Maknanya 1 PPS 3 orang, tidak cukup,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada NGO untuk menyertai misi bantuan banjir khususnya dalam kerja menyelamat, membersih dan mengagihkan barang-barang yang diperlukan kepada mangsa-mangsa banjir.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan negeri-negeri lain yang datang memberi sumbangan.
“Begitu banyak (sumbangan yang diberikan) sama ada daripada bentuk tenaga untuk membantu mangsa banjir terutama di Pahang dan Selangor iaitu negeri yang paling kritikal berdepan bencana banjir sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2021