Tamat pengajian kitab Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiah

- Advertisement -

Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

ALHAMDULILLAH hari ini menamatkan pengajian kitab Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiah dengan tajuk-tajuk terakhir menyentuh berkenaan kewafatan Rasulullah SAW dan jasa-jasa Baginda dalam mengembalikan umat untuk mentauhidkan Allah SWT.

Rasulullah SAW meninggal dunia setelah mencapai kejayaan besar dalam menyampaikan ajaran Islam, agama yang menjadi pusaka paling berharga kepada seluruh umat manusia. Bahkan, menjadi petunjuk dalam semua urusan dunia dan akhirat secara menyeluruh.

Baginda SAW telah menunjukkan suatu contoh yang terbaik dalam semua perkara dengan menonjolkan sifat seorang manusia yang paling berakhlak dan bertaqwa, seorang suami yang terbaik, seorang ayah yang paling penyayang kepada keluarga, serta seorang pemimpin negara paling adil dan berjaya.

- Advertisement -

Begitu juga menjadi imam solat, hakim, panglima tentera dan lain-lain. Semua perkara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik pilihan Allah SWT.

Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah RA menegaskan:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ.

“Dan akhlaknya (Rasulullah SAW) ialah al-Quran.” (Riwayat Ahmad 24601)

Segala perkara yang lahir daripada batang tubuh Baginda ialah pentafsir untuk seluruh aspek kehidupan daripada al-Quran. Para ulama’ tidak mencukupi umur mereka sepanjang zaman untuk menimba ilmu yang wajib diamalkan sepanjang masa bagi seluruh manusia.

Sama ada yang telah tersurat dalam kitab-kitab yang telah dikarang mahupun yang masih tersimpan atau tersirat dalam al-Quran iaitu mukjizat ilmu yang hidup hingga Hari Kiamat. Inilah pusaka yang paling berharga sehingga tidak ternilai harganya.

Rasulullah SAW wafat ketika Semenanjung Tanah Arab telah dikuasai, kuasa-kuasa besar dunia sedang merasai bahang kehebatannya. Namun begitu, tiada harta dunia yang ditinggalkan melainkan hanya baghal berwarna putih yang menjadi kenderaannya, senjata dan tanah yang disedekahkan, baju rantai pakaian perangnya yang digadai kepada seorang Yahudi dengan 30 gantang sya‘ir (barli) dan hamba-hamba yang menjadi miliknya semuanya telah dimerdekakan.

Insya-Allah pengajian sirah akan disambung dengan kitab Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA yang akan menyambung saat pelantikan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Kuliah Dhuha Jumaat, 19 Jumadal Ula 1443 bersamaan 24 Disember 2021. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -