Program Sentuhan Kasih MAIWP santuni mangsa banjir di ibu kota

Idris bersama #PasukanMenteriAgama turun mengagihkan sumbangan di Dewan Kampung Pasir Baru, Pantai Dalam. (Foto daripada Facebook Idris Ahmad)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Kampung Pasir Baru, di sini, Sabtu lepas, meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk selepas lebih 20 tahun tidak mengalami bencana seburuk itu.

Sharifah Nadiah Syed Mohd Abd Rani, 30, berkata keadaan rumahnya agak teruk dengan pelbagai barangan mengalami kerosakan disebabkan ditenggelami air separas pinggang.

Bagaimanapun, pekerja swasta itu bersyukur atas pelbagai bantuan yang diterimanya.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, ramai pihak tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada kami. Mujurlah dengan pelbagai sumbangan, kami dapat bernafas kembali,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang lagi penduduk, Shafiqah Maulat Kharidan, 26, berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban memandangkan banyak barangan tidak sempat diselamatkan kerana banjir berlaku dengan pantas.

“Beberapa peralatan elektrik ditenggelami air namun bantuan yang diberikan mampu mengubat kesedihan,” katanya.

Sharifah Nadiah dan Shafiqah antara 350 mangsa banjir di kampung itu yang menerima bantuan menerusi program Sentuhan Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) – Misi Bantuan Banjir Program Kolaborasi Keluarga MAIWP, Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat Negeri-negeri.

Program itu merupakan inisiatif bersama Keluarga MAIWP dengan penglibatan Majlis Agama Islam Negeri dan Lembaga Zakat Negeri dalam menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di pelbagai lokasi di ibu negara bermula 23 hingga 26 Dis ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad dengan diiringi Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar turut beramah mesra dan menyampaikan sumbangan tersebut.

Keseluruhannya, bantuan berjumlah lebih RM1 juta merangkumi makanan dan barangan keperluan seperti penjagaan kebersihan diri, ubat-ubatan, keperluan mencuci rumah, peralatan elektrik dan keperluan asas lain seperti selimut, bantal, tuala wanita, telekung serta kewangan diberikan menerusi program itu kepada 1,300 mangsa banjir di ibu negara. – BERNAMA

- Advertisement -