MADACorp laksana misi bantu banjir, sumbang RM20,000

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi anak syarikatnya Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADACorp) melaksanakan misi bantuan bagi membantu mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor hari ini dengan sumbangan bernilai kira-kira RM20,000.

Pengerusi MADACorp Ahmad Hilmi Talib berkata sumbangan antaranya berupa barangan keperluan makanan, peralatan kebersihan diri, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, tuala wanita, tilam, toto, selimut serta ubat-ubatan itu sebagai rasa tanggungjawab meringankan beban penduduk yang terjejas banjir.

- Advertisement -

“Sumbangan ini termasuk daripada syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan yang turut serta menghulurkan sumbangan untuk misi bantuan banjir ini,” katanya kepada pemberita sebelum majlis ‘flag off’ misi bantuan banjir itu di sini hari ini. 

Ahmad Hilmi berkata misi bantuan berkenaan akan memfokuskan dua kampung di Hulu Langat yang dikenal pasti antara yang terjejas teruk akibat bencana tersebut iaitu Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 18.

Beliau berkata seramai 20 warga kerja MADACorp yang mengikuti misi bantuan itu juga akan bertindak sebagai sukarelawan bagi mencuci rumah penduduk kampung yang terjejas dengan bencana tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -