Semua entiti Khidmat Malaysia Melaka digerak bantu banjir

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Semua entiti yang bernaung di bawah Khidmat Malaysia Melaka (KMM) telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir, kata pengarahnya, Muhamat Puhat Bedol.

Entiti-entiti tersebut menurut beliau terdiri daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri, dewan-dewan peringkat negeri dan kawasan-kawasan, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka dan Briged Muslimat.

Selain itu, jelas Puhat, KMM juga telah mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) bagi bantuan berkaitan kesihatan dan perubatan.

- Advertisement -

“Kita telah mengarahkan seluruh organisasi PAS kawasan-kawasan yang terlibat untuk membuka ‘pusat pengumpulan sumbangan’.

“Sumbangan yang akan diagihkan adalah dalam bentuk bahan makanan kering, pakaian harian, lampin pakai buang bayi, tuala wanita, keperluan ibadah seperti telekung, kain pelikat dan sejadah juga tudung wanita,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) juga telah bersetuju mengeluarkan dana awal sebanyak RM5,000 untuk menampung penyediaan barang-barang sumbangan tersebut di samping untuk keperluan lain bagi menggerakan operasi.

“Tabung Bantuan Banjir telah dilancarkan oleh Jabatan Penerangan bersama nombor akaunnya sudah disebar dan dihebahkan. Sasaran kami adalah yang termampu dapat dikumpulkan kerana kerosakan bencana ini sangat besar.

“Dan KMM berhajat sangat untuk dapat sama-sama membantu Kerajaan Negeri Melaka dan organisasi-organisasi kerajaan yang terlibat dalam menghulur bantuan.

“Ini termasuk di dalam operasi bantuan selepas fasa menyelamat iaitu pembersihan rumah, harta awam dan memastikan kesihatan mangsa yg terlibat dapat dipantau dan diberikan rawatan jika perlu,” ujar beliau lagi.

Puhat yang juga Ahli Jawatankuasa BPPNM berkata gerak kerja telah bermula semalam (20 Disember) dengan menjadikan Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah di Jalan Hujan Panas sebagai Bilik Operasi.

“Walau tidak bermula di sana, malam tadi anggota JAM telah mula menjalankan operasi membersih di beberapa rumah yang terlibat.

“Ini adalah bencana alam yang agak besar dan semestinya seluruh jentera dari seluruh lajnah yang ada dan berkaitan perlu sama-sama membantu KMM dan entitinya yang telah saya sebutkan tadi,”ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -