Banjir: Kedah beri sumbangan khas RM200,000 kepada Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor dan beberapa negeri lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesukaran penduduk dan kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada yang dapat dibayangkan.

Katanya, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri khususnya Selangor yang paling teruk terjejas pastinya bertungkus-lumus mengerahkan seluruh keupayaan aset dan agensi kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi musibah itu.

- Advertisement -

“Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, Kerajaan Negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM200,000,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, malam ini

Menurutnya, sumbangan itu akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri seberapa segera.

“Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Selain sumbangan kerajaan negeri, kata beliau pihak Khidmat Malaysia Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa ke Selangor bersama aset dan petugas untuk membantu penduduk di sana.

“Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan akan membantu mereka menghadapi kesukaran pasca banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -