Buli: Ameerah Terengganu gesa cegah sebelum parah

- Advertisement -

BELUM reda lagi rakyat Malaysia terkesan dengan isu buli yang membawa maut terhadap Almarhum Zulfarhan Osman, siswa kadet laut Universiti Pertahanan Malaysia, kini dikejutkan lagi dengan kes buli yang berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. 

Isu ini telah mencetuskan lagi kerisauan ibu bapa dan masyarakat umum, yang mungkin ianya suatu perkara ‘dalaman yang biasa’, kini tular, dikelar dan dikecam secara terbuka oleh semua pihak. Bahkan, Islam secara jelas melarang sebarang mudarat kepada diri sendiri, apatah lagi kepada manusia lainnya.

- Advertisement -

Ameerah Terengganu tegas menyuarakan bahawa kami menyelar budaya buli dalam kalangan pelajar yang dilihat tersasar jauh dari budaya teras iaitu budaya penuntut ilmu. 

Rentetan daripada kes ini, Ameerah Terengganu melihat pentingnya tindakan tegas yang segera perlu diambil oleh pihak kerajaan agar kitaran zalim ini tidak terus berulang.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga harus menitikberatkan silibus pencegahan buli ini melalui matapelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya sekali gus seiring dengan aktiviti ceramah dan kempen yang berkala supaya para pelajar didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya.

Jangan juga kita ketepikan kepentingan serta kajian untuk turut melihat situasi sebenar para pembuli yang mungkin membesar dalam persekitaran yang tidak sihat sehingga memaksa mereka melakukan tindakan di luar batas moral dan akhlak.

Semoga dengan apa yang berlaku ini mampu membuka mata orang ramai untuk sama-sama kita bantu, memberi pandangan untuk mengekang daripada budaya buli yang terkadang sudah menjadi normalisasi di kalangan pelajar di Malaysia.

PUAN ASMA’ ABDULLAH
Pengarah Ameerah Terengganu – HARAKAHDAILY 16/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/326928899229778/posts/377231257532875

- Advertisement -