Guru PASTI Maran terima sumbangan dua ADUN

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak dan ADUN Luit, Mohd Sofian Abd Jalil telah menceriakan para guru PASTI Kawasan Maran menerusi sumbangan bantuan akhir tahun yang diperuntukkan mereka.

- Advertisement -

Majlis penyampaian sebagai menghargai 38 guru terbabit telah dilangsungkan dengan kehadiran para pimpinan PAS Maran yang diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Maran, di sini kelmarin.

Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latiff Abdul Halif menyifatkan para guru PASTI telah berkorban dalam mendidik anak-anak zaman sekarang yang sangat mencabar tanpa meminggirkan tugas lain mereka.

Ustaz Mujibur Rahman pula dalam ucapannya mengakui pentingnya sabar dan istiqamah dalam menjalankan tugas sangat besar, mencabar dan mulia sebagai pendidik itu di mana sentiasa didoakan makhluk.

Katanya, ilmu adalah elemen yang perlu sentiasa ditambah walaupun kepada seorang pendidik, apatah lagi pada zaman sangat mencabar ketika ini di mana perihal itu pernah diperingatkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA.

“Maka guru-guru kena sentiasa menambah ilmu dan pengalaman lebih-lebih lagi dunia di hujung jari kini. Gunakan teknologi bagi menambah minat dan dekati anak-anak untuk tanamkan akidah, fardu ain dan akhlak,” ujarnya.

Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman pula merakamkan penghargaan atas dedikasi para muallimah yang tidak jemu menjalankan tugas mencorak anak-anak PASTI menjadi Mukmin sejati.

Hadir sama adalah Pengerusi PASTI Maran, Ridwan Zainal Abidin, manakala Mohd Sofian yang tidak dapat hadir atas sebab kesihatan telah diwakili pegawai beliau, Ustaz Razali Ramli. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -