Lupa kerjaya pramugari kerana pakaian tidak patuh syarak

Royal Brunei Airlines - Gambar sekadar hiasan.
- Advertisement -

KANGAR: Sudah sampai masanya kakitangan kabin bagi wanita Muslim diberi kebenaran memakai pakaian patuh syariah selepas sekian lama isu ini diperdebatkan.

Orang ramai yang ditemui berharap pramugari dapat menggambarkan imej Malaysia sebagai negara umat Islam, yang membenarkan pekerja wanita di semua sektor menutup aurat.

- Advertisement -

Kata mereka pramugari sekarang tidak mencerminkan imej tersebut, sebaliknya berpakaian agak seksi yang tidak menggambarkan majoriti penduduk di negara ini beragama Islam.

Seorang guru, Wan Nurul Wahidah Wan Mustafa, 33 berkata sepatutnya kebebasan berpakaian menutup aurat sudah lama wujud memandangkan Malaysia majoriti rakyatnya Muslim.

Nur Syaera Aliya

Menurutnya, Islam sebagai rasmi negara sewajarnya diterjemahkan melalui pemakaian rakyatnya.

“Ada juga rakan-rakan saya yang berminat untuk bekerja sebagai pramugari namun terpaksa dilupakan kerana isu pakaian yang tidak menutup aurat.

“Jika dilihat pakaian kakitangan lain seperti polis dan jururawat boleh bertudung, mengapa pula pramugari berpakaian masih di tahap lama,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan pemakaian skirt ketat menyebabkan pergerakan pramugari agak terbatas, lebih-lebih lagi sekiranya berlaku sesuatu kecemasan.

Katanya adalah lebih baik dibenarkan pramugari memakai seluar panjang yang lebih selesa dengan bertudung seperti kakitangan penerbangan sesetengah negara termasuk Royal Brunei Airlines.

Nurizati Zamani, 31, pula berkata, penegasan mengenai isu terbabit perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan undang-undang mengenainya.

Nurizati Zamani

Katanya, kerajaan wajar memperkenalkan kod etika pemakaian menutup aurat bagi pekerja Muslim, manakala pakaian sopan pekerja bukan Muslim.

“Jadi, mahu atau tidak sudah pasti syarikat penerbangan akan mematuhi ketetapan tersebut,” katanya.

Nur Syaera Aliya, 28, pula berkata, isu tersebut sudah lama dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Jika pramugari boleh berpakaian sopan dan menutup aurat untuk penerbangan menunaikan ibadah haji dan umrah, kenapa penerbangan lain tidak boleh,” ujarnya.

Pada 13 Disember lepas Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menyarankan MAS Airlines membenarkan pramugari beragama Islam berpakaian menutup aurat sebagai menunaikan hak mereka terhadap agama. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -