Ulama, tuan guru pondok benteng perjuangan PAS

- Advertisement -

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

وَمَا كَانَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍۢ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Tidak sepatutnya orang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka, beberapa orang untuk mendalami pengetahuan mereka tentang agama supaya mereka memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya. Mudah-mudahan mereka berwaspada.” (At-Taubah: 122)

إن العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، إنَّما ورَّثوا العلم، فمن أخذَه أخذ بحظٍّ وافر

Maksudnya: “Sesungguhnya para ulama itu pewaris Nabi. Para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, mereka ambil habuan yang besar”.

- Advertisement -

Allah beri kita sedikit ilmu agama, ilmu paling mulia, paling tinggi di sisi Allah. Pusaka yang ditinggalkan oleh Nabi. Betapa mulianya pusaka ini.

فضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب، وإن العلماء ورثة الأنبياء، وإن الأنبياء لم يورثوا ديناراً ولا درهماً، وإنما ورثوا العلم فمن أخذ به أخذ بحظ وافر

Maksudnya: “Kelebihan orang alim mengatasi yang beribadat seperti kelebihan bulan purnama mengatasi semua bintang. Sesungguhnya ulama itu pewaris nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, dia mendapat habuan yang besar”.

Hikmah dalam ayat di awal tadi, Allah sebut tafaqquh fiddin (mendalami agama) dan inzar qaum (beri peringatan kepada kaum).

Mesti ada satu kumpulan yang tinggalkan kampung, dalami agama yang sempurna, kemudian beri peringatan kepada kaum. Bukan hanya mengajar sahaja, tetapi memberi ingatan dan amaran tentang adanya cabaran kepada umat seperti ayat lain yang turun kepada Nabi SAW:

يا ايها المدثر قم فانذر

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bangun! Dan berilah peringatan.”

Ulama mesti memelihara umat Islam dari bahaya yang ada. Mereka menyuluh perjalanan hidup, supaya tahu yang benar dan salah.

Ulama muktabar, terutama empat orang imam mazhab, bukan sahaja mengajar tetapi berjuang. Imam Malik, Imam Abu Hanifah, As-Shafie dan Imam Ahmad, semuanya menghadapi cabaran.

Kitab mereka terus dibaca, sebagai adanya keberkatan daripada ilmu mereka.

Ayat al-Quran yang menyebut tentang ulil amri dirujuk sebagai ulama dan umara (pemerintah).

Umara juga perlu ada ilmu. Dibantu oleh ahlil halli wal aqdi (kumpulan yang mampu menguraikan dan menyimpul isu dan masalah) di kalangan ulama dan ahli syura.

Para pendakwah yang datang ke alam Melayu telah membuang segala fahaman yang menyesatkan, melalui ajaran Islam dan akhlak yang baik, dengan hikmah, seperti sifat fatanah yang ada pada Nabi.

Justeru, para ulama perlu mencontohi dari sifat Nabi.

Namun kita tidak mampu memiliki seperti sifat Nabi sepenuhnya, tetapi kita disuruh berjemaah. Nabi SAW bersabda:

تلزم جماعة المسلمين و امامهم

“Hendaklah kamu bersama-sama kumpulan Islam dan kepimpinan mereka.”

Ulama Islam di Mesir, Algeria dan lain-lain negara bergerak secara berjemaah. Institusi pengajian mereka hidup.

Ulama-ulama ini juga tegakkan Islam secara syumul.

Di zaman Nabi, para sahabat besar berkumpul di Thaqifah Bani Saidah selesaikan isu kepimpinan Islam selepas Nabi wafat.

Politik adalah penting dalam hidup.

Bila jatuh kerajaan Uthmaniyyah, Islam juga jatuh, tetapi para ulama terus bangkit, termasuk di Tanah Melayu. Para ulama Tanah Melayu dan di tanah umat Islam bangun menentang penjajah Barat.

Barat mengkaji penentangan Islam. Islam tidak dapat dikalahkan. Gladstone pegang Al-Quran, dan berkata: Selama mana umat Islam pegang kitab ini, mereka tidak dapat dihapuskan.

Tiga ‘batu keras’ bagi umat Islam ialah Quran, Kaabah dan solat Jumaat. (dengan makna umat Islam sukar dikalahkan jika tiga perkara ini dipegang kuat oleh umat Islam)

Barat lancar serangan pemikiran, antaranya melalui sistem pendidikan di mana huruf Arab ditukar rumi, dan lain-lain perkara yang diubah.

Ulama di Tanah Melayu mengajar al-Quran, membuka kelas pengajian. Ini adalah benteng bagi umat Islam.

Nabi sebut:

لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، وأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة

Maksudnya: “Akan dirungkai simpulan Islam, satu simpulan, demi satu simpulan. Setiap kali terungkai satu simpulan, manusia bergantung dengan simpulan berikutnya. Simpulan pertama terungkai ialah hukum. Akhirnya solat”.

Ulama menghadapi musuh iaitu sifat ‘jahil’. Ulama ada peranan besar lawan kejahilan ini.

Para ulama bersama dengan PAS, sejak lebih 70 tahun yang lepas. Dulunya, negeri yang ramai ulama, PAS boleh menang dalam pilihan raya.

Ulama yang istiqamah, pondoknya terus hidup.

Kewajipan pertahankan Islam sering dilupakan. Abdullah bin al-Mubarak ingatkan kepada Fudail bin Iyadh dalam syairnya:

يا عابدَ الحَرَمينِ لوْ أبصرْتَنا           

لَعلمْتَ أنّك في العبادةِ تَلْعبُ
مَنْ كان يَخْضِبُ خدَّهُ بدموعِهِ            

فَنُحُورُنا بِدِمَائِنا تَتَخَضَّبُ
أو كان يُتْعِبُ خيلَهُ في باطلٍ             

فخيولُنا يومَ الصَّبِيْحَةِ تَتْعبُ

‘Wahai orang yang beribadat di dua tanah suci! Jika engkau melihat kami
Tentu engkau tahu bahawa engkau bermain dalam ibadat
Siapa basah pipinya dengan airmatanya
maka leher kami dibasahi dengan darah kami
atau kudanya penat dalam kebatilan
Maka kuda kami penat di waktu pagi.

Dalam satu hadis di mana intipatinya bahawa kamu tidak akan dapat mencapai pahala yang sama seperti orang yang berjihad walaupun masa kamu dipenuhi dengan ibadat sunat yang banyak. – HARAKAHDAILY 13/12/2021

(Ucapan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS pada perasmian penutup Ijtimak Ulamak dan Tuan-tuan Guru Pondok Se-Malaysia.
Catatan selari di program Ijtimak Ulamak dan Tuan-tuan Guru Pondok anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat di KOMTAQ, Batu 6, Terengganu pada 12 Disember 2021.)

- Advertisement -