Kematangan: Mungkin lebih ramai muslimat jadi calon PRU15

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA TERENGGANU:
Kematangan muslimat yang diselitkan dengan ilmu, memungkinkan lebih ramai golongan berkenaan bakal dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata melalui program yang mereka anjurkan di samping ketegasan dalam mempertahankan sesuatu isu memperlihatkan golongan berkenaan semakin memberangsangkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Sepagi Bersama Muslimat PAS sempena Sambutan 70 Tahun PAS yang diadakan Primula Beach Resort, di sini hari ini.

- Advertisement -

Katanya lagi, begitu juga program yang dianjurkan muslimat hari ini begitu baik apabila menggabungkan muslimat dari tiga generasi iaitu veteran, pertengahan dan muslimat muda.

“Ketiga golongan ini diadun menjadi satu bagi menghasilkan natijah yang lebih baik untuk memantapkan lagi perjuangan PAS.

“Ketika usia PAS 70 tahun ini, muslimat dan pemuda semakin matang. Ulama jadi tulang belakang, jadi saya nampak ianya memberi imej yang baik pada PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau cukup yakin menuju PRU15 akan ada lebih ramai lagi muslimat yang akan menyertainya.

Beliau berkata, kemenangan PAS bukan hanya datang daripada pemuda, sebaliknya juga daripada muslimat.

Tambahnya, kerjasama erat di antara dewan-dewan tersebut akan memberi kemenangan lebih besar pada masa akan datang, khususnya PRU15 nanti.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa terharu di atas kehadiran peserta pada program yang dianjurkan Dewan Pemuda, Muslimat, DHPP atau Dewan Ulamak.

Katanya, beliau bersyukur program yang mendapat sambutan baik daripada anggota masyarakat diikuti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memantau program yang dianjurkan bagi memastikan pematuhan SOP. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

- Advertisement -