HANRUH perlu perkuat kemampuan udara – MP Sik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar pertahanan dengan memperkenalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dilihat masih mempunyai kelompongan terutama benteng udara, demikian disuarakan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).

- Advertisement -

Beliau berucap membahas anggaran perbelanjaan Persekutuan 2022 di peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Menurutnya, konsep yang turut dilaksanakan oleh kebanyakan negara di Asia dan Eropah itu, tetapi dilihat bagi negara ini masih berlaku kekurangan anggota di bahagian Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Ini telah mengurangkan tahap efisien pengoperasian bahkan tidak dapat beroperasi lancar dengan bebanan tugas dan tidak mempunyai hala tuju jelas bagi melahirkan pegawai dan staf yang berupaya menjadi benteng pertahanan kedua.

“Berbandingkan dengan tahap kesiapsiagaan oleh Regimen Askar Wataniah bagi Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Simpanan Sukerela TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia).

“Juga dilihat tiada lagi pengambilan PLAS (Pasukan Latihan Anggota Simpanan) TUDM di Kuantan bagi melatih anggota-anggota simpanan lain-lain pangkat (LLP) membantutkan lagi usaha bagi merealisasikan pertahanan udara yang menyeluruh. 

“Kita perlu mencontohi pelan rancangan United States Air Force Reserve Command yang berupaya menyediakan 14 peratus daripada jumlah keseluruhan Angkatan Udara Amerika,” kemukanya. 

Beliau juga bertanyakan sama ada pihak kementerian mempunyai rancangan bagi memperkasakan unit-unit Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara di universiti-universiti awam. 

Katanya, ia bagi melatih graduan berpotensi tinggi sebagai pegawai simpanan TUDM yang akan menjadi tunjang pertahanan udara seperti yang dibangunkan oleh United States Air Force Reserve Command.

“Selain itu apakah bentuk organisasi yang akan dikembangkan oleh pihak kementerian memandangkan Pasukan Simpanan Tentera Udara yang ketika ini dilihat tiada unit-unit Markas Simpanan Tentera Udara selain unit tumpangan di universiti awam?” soalnya lagi.

Ahmad Tarmizi juga menyifatkan anggaran Tahun 2022 Cara Langsung bagi butiran berkenaan agak tinggi iaitu RM40.7 juta dan beliau memohon perincian bagi projek penyelidikan yang akan dilaksanakan di bawah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE). 

Tegas beliau, ia tidak harus diabaikan kerana dikhuatiri menjadi salah satu projek gajah putih selain menyatakan kerisauannya melihat penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan Malaysia yang disifatkan bagai tiada kesungguhan. 

Saran beliau, pegawai penyelidik dari STRIDE perlu lebih kompeten dan bukan hanya mencukupkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan melalui penerbitan dan menghadiri kursus-kursus, tetapi harus berdaya saing. 

Beliau menjadikan institut penyelidikan negara jiran iaitu Lembaga Penerbangan dan Antarariksa Nasional (LAPAN) di Indonesia dan A*STAR di Singapura sebagai perbandingan dan contoh untuk diberi perhatian. 

Turut disuarakan kerisauan yang cukup tinggi apabila negara hanya bergantung kepada perolehan import dari luar negara melalui tender-tender tertutup serta isu pemilikan blueprint apabila sesuatu projek dirancang dan dilaksanakan.

“Terutamanya kelengkapan melibatkan penyelenggaraan sesuatu komponen aset ketenteraan di mana mendatangkan masalah apabila sesebuah syarikat yang dilantik menutup operasi pengeluaran komponen seperti yang terjadi pada pesawat Aermacchi MB-339. 

“Sejauh manakah kementerian mempunyai hak pemilikan blueprint setiap komponen aset ketenteraan daripada kontraktor pembekal yang dilantik sebagai alternatif reversed engineering sekiranya mereka mempunyai masalah pembekalan akibat penutupan operasi kelak? 

“Saya mencadangkan agar setiap perjanjian pebekalan aset ketenteraan diperincikan dengan lebih jelas bagi butir-butir pemilikan blueprint, butiran lukisan kejuruteraan secara komprehensif, susunan pemasangan komponen, data material dan data teknik bagi menjamin kelestarian operasi ketenteraan yang melibatkan pertahanan negara.

“Selain itu, saya ingin bertanyakan apakah status pembangunan peluru berpandu Taming Sari XK98 dibangunkan oleh STRIDE dan kali pertama ia pernah dipertontonkan kepada umum semasa perarakan sambutan Hari Kemerdekaan 2007. 

“Adakah ia sudah mencapai kematangan dari segi teknologi persenjataan canggih dan boleh dikomersialkan pada zaman Revolusi Industri 4.0 sekarang?” lontar beliau. – HARAKAHDAILY 10/12/2021

- Advertisement -