Belanjawan 2022 Pahang: Perbahasan ADUN Damak

- Advertisement -

ALLAH Taala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155:

- Advertisement -

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa (kematian) dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Kemelut ekonomi, ujian yang menuntut kesabaran

Keadaan ekonomi negara dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sangat memberikan impak kepada kehidupan seharian rakyat. Semakin banyak keluhan yang diterima daripada rakyat apabila pelbagai harga barang naik. Apabila harga keperluan asas seperti makanan naik, maka pelbagai lagi barangan yang berantaian dengannya akan turut naik mendadak. Ini sudah pasti memberikan kesan kepada rakyat terutamanya mereka yang baru bangkit bertatih untuk kembali pulih daripada tekanan sara hidup di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan.

Beberapa pakar dalam bidang kesihatan juga sudah memberikan amaran bahawa gelombang jangkitan harian pandemik, dijangka akan meningkat kembali jika tidak ada kesedaran yang tinggi dalam mematuhi SOP bagi membendung wabak COVID-19. Kini muncul pula variant terbaru iaitu Omicron dari South Africa, yang lebih ganas dan barangkali tidak mampu dilawan oleh vaksin yang telah diambil. Moga Allah S.W.T melindungi kita semua daripada cetusan jangkitan variant terbaru ini.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan semua adalah penting untuk kita sebagai pemimpin di kawasan masing-masing tidak alpa dan terus mematuhi segala bentuk prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar tidak ada kembali Sekatan Pergerakan yang boleh membantutkan proses pemulihan ekonomi negara. Di samping itu dalam kelonggaran yang diberikan perlu juga ada tindakan yang tegas diambil oleh kerajaan dalam membendung wabak yang masih wujud di sekeliling kita ini.

Perpaduan asas kekuatan, perpecahan punca kelemahan

Allah S.W.T berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”

Allah S.W.T memerintah agar kita berpegang dengan tali-Nya (agama Islam) agar kita tidak berpecah belah dengan mengikut hawa nafsu dan kepentingan peribadi hingga membawa kepada permusuhan. Apabila tercetusnya permusuhan, maka munculnya penyakit benci-membenci dan memfitnah yang menatijahkan kelemahan buat ummah.

Perpaduan adalah asas bagi menjamin keamanan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Adalah perlu untuk kita memelihara dan mempertahankan perpaduan yang telah terbina serta saling hormat menghormati yang akan menjadikan negeri dan negara kita terus maju dan aman sentosa. Perbezaan pendapat itu adalah fitrah manusia, namun ia berubah menjadi punca perbalahan jika tidak diurus dengan harmoni.

Menambah baik aspek pelancongan 

Pihak Kerajaan Negeri Pahang telah menambah baik pelbagai kemudahan infrastruktur khususnya di DUN Damak. Kelihatan Bandar Jerantut telah bertukar wajah dengan slogan baru Jerantut Daerah Pelancongan. Tahniah saya ucapkan. Bagi memperkasakan lagi aspek pelancongan, saya ingin menyuarakan beberapa penambahbaikan di Daerah Jerantut yang merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Pahang (Keluasan keseluruhan Jerantut ini ialah 7,563.46 km persegi).

Pertama, saya mencadangkan Jerantut dijadikan lokasi (dengan izin Yang Dipertua) Education/Spiritual-Tourisme iaitu pelancongan berasaskan pendidikan atau kerohanian. Ini adalah kerana pada setiap minggu atau hujung minggu, Daerah Jerantut menerima kunjungan pelancong dari luar yang ramai kerana tarikan lokasi-lokasi menarik. 

Untuk makluman semua, Jerantut mempunyai 16 pusat tahfiz (12 berdaftar dan 4 dalam proses pendaftaran) yang bukan sahaja menjadi pusat pengajian malah ada juga yang menyediakan aktiviti-aktiviti seperti memanah dan berkuda. Jadi dengan adanya bilangan tahfiz atau madrasah yang banyak di Daerah Jerantut ini boleh memberi peluang kepada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) memanfaatkannya dengan mempromosikannya sebagai lokasi tawaran buat para pelancong untuk dilawati sambil menyantuni para pelajar dan menyertai aktiviti keilmuan dan kerohanian yang diadakan. Selain itu, para pelancong juga dapat menghulurkan bantuan secara lebih tepat dan yakin dan memperolehi pengalaman yang unik.

Kedua, saya mencadangkan agar lokasi-lokasi berpotensi untuk eko-pelancongan sepanjang jajaran Kampung Bharu hingga ke Kampung Ulu Cheka dan juga Kampung Perlok diwartakan dan Kerajaan hendaklah sentiasa memelihara dan mempromosikan kawasan yang bernilai bagi eko-pelancongan ini. Sebagai contoh terdapat satu lokasi di DUN Damak yang menarik dahulu kini telah menjadi sepi tiada pengunjung iaitu Pusat Rekreasi Hutan Simpan Som yang lama terbiar. Kawasan yang berpotensi untuk tarikan pengunjung seperti ini perlu diselenggara dan dipromosikan kembali. 

Selain itu juga, kawasan eko-pelancongan dan sekitarnya hendaklah diselia dengan baik tanpa diusik oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba untuk merosakkan keindahan flora dan fauna, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka (sebagai balasan terhadap) sebahagian dari perbuatan yang mereka lakukan, mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan Allah).”

(ar-Rum: 41)

Ketiga, rentetan daripada isu gangguan gajah liar masuk kampung, saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri merealisasikan Pahang yang terkenal dengan jolokan Negeri Tok Gajah dengan menyediakan kawasan penempatan khusus untuk habitat gajah. Saya difahamkan sebelum ini gajah-gajah yang ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) dipindahkan ke hutan Taman Negara Negeri Terengganu dan Kelantan. Maka habitat ini akan kian pupus dari Negeri Pahang. 

Keempat, Pekan Damak adalah lokasi utama menjadi tumpuan khususnya semasa musim durian. Ia juga menjadi destinasi persinggahan bagi mereka yang ingin menerokai keindahan bukit, sungai dan juga air terjun di kawasan sekitar. Namun Pekan Damak dilihat tidak terurus dengan baik, Justeru saya mencadangkan agar dibaiki segera jalan raya utama, dibaik pulih atau tukar paip air yang sentiasa pecah, menyusun dan menaik taraf kembali rumah-rumah kedai yang usang, membaiki papan kenyataan yang rosak dan menyediakan sistem pengurusan sampah yang baik.

Pembangunan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat

Merujuk kepada Strategi kedua Belanjawan Tahun 2022 – Melengkapkan Kemudahan Asas Rakyat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas keprihatinan beliau dan juga JKR Pahang kerana sangat proaktif apabila menerima aduan berkaitan dengan permohonan dan pembaikan jalan raya khususnya dalam DUN saya. Alhamdulillah, lebih 90 peratus aduan yang dibuat menerima tindak balas yang sangat baik dan rakyat dapat menikmati jalan raya baru dan yang dibaik pulih di semua kampung dan juga Lebuhraya Persekutuan. (2021 sebanyak 371 juta peruntukan kerajaan pusat untuk Pahang).

Juga tahniah kepada pihak Majlis Daerah Jerantut yang telah menaiktaraf jalan raya dan kemudahan berekreasi di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan.

Di samping itu saya mohon penjelasan berkaitan status jalan raya baru dari Jerantut ke Benta. Apakah kerajaan merancang untuk menaik taraf jalan tersebut yang menjadi laluan utama menghubungkan Jerantut, Lipis dan Raub? Jika ada, bilakah projek ini akan bermula dan bilakah dijangka siap?

Manakala isu yang menghantui penduduk kampung terutama di jajaran Kg Bharu hingga ke Kg Sempadan dan Kg Perlok ialah masalah air yang tiada berkesudahan hingga kini. Saya juga tertanya-tanya mengapa tiada peruntukan buat DUN Damak seperti di kawasan lain bagi menyelesaikan masalah air ini.

Di waktu ini Kg Bharu berdepan dengan keputusan bekalan air paip berminggu-minggu dan keadaan bertambah buruk apabila air bukit yang menjadi sumber alternatif juga turut terjejas.

Untuk makluman juga, seluruh penduduk di Kg Sempadan sehingga kini belum menerima perkhidmatan air PAIP. Saya dimaklumkan bahawa isu yang berlaku semenjak sekian lama ini adalah berpunca daripada Loji Rawatan Air Batu Balai yang sudah lama dan tidak mampu menampung keperluan penduduk sekitar, justeru pihak kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap masalah ini.

Pada minggu lepas saya mendapat laporan bahawa SK Tebing Tinggi yang turut menjadi Pusat Pemindahan Banjir berdepan dengan masalah siling dan atap yang runtuh. Setelah ditinjau saya dapati keadaannya sangat bahaya khususnya kepada anak-anak murid sekolah. Surau dan bilik kemahiran terpaksa ditutup kerana siling runtuh dan berisiko runtuh sepenuhnya. Pihak sekolah telah memaklumkan perkara ini kepada pihak berwajib namun belum mendapat respon sebaiknya. Justeru saya berharap perkara ini dapat diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Memartabatkan sukan, menyihatkan badan, mencerdaskan minda

Sukan antara aktiviti yang boleh menyatukan kita. Namun mutakhir ini kita lihat sukan berprestij seperti bola sepak di Negeri Pahang tidak dapat bangkit semula seperti zaman kegemilangan dahulu. Kini nama Tok Gajah telah bertukar ke Sri Pahang, ramai juga yang menyuarakan bahawa nama tersebut tidak se gah seperti dahulu. 

Begitu juga sukan-sukan lain seperti badminton dan sepak takraw, nama pemain Pahang kurang menonjol sama ada di peringkat Kebangsaan mahupun Antarabangsa. Justeru saya ingin bertanya apakah strategi Kerajaan Negeri bagi mengembalikan semula kegemilangan Pahang dalam sukan-sukan yang popular ini. 

Islam adalah rahmat untuk semua

Kebaikan yang dibawa oleh Islam selalunya disalah erti kerana diambil daripada sumber yang salah dan dinilai dari sudut yang tidak betul. Contohnya larangan berjudi, minum arak, berzina dan lain-lain. Sedangkan pada hakikatnya di sebalik larangan tersebut ada kebaikan untuk dikecapi oleh semua manusia. 

Justeru usaha pelaksanaan sebarang bentuk enakmen syariah perlu didahului dengan penjelasan dan rasionalisasinya agar dapat diterima dengan baik. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Haj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍۢ

“Dan Allah tidak menjadikan bagi kamu kesusahan dalam agama.”

Saya juga ingin bertanya status kajian yang dilaksanakan oleh pihak MUIP dengan kerjasama UMP dalam mendapatkan maklum balas orang ramai berkaitan cuti umum hari Jumaat.

Tahniah di atas pembinaan Madinah Mawaddah yang menjadi model Bandar Islam yang sudah pastinya bakal menjadi kebanggaan kepada kita Insya-Allah mengundang keberkatan dan rahmat Allah S.W.T.

Akhir kalam

Sekalung tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul khususnya di DUN Damak. Juga terima kasih kepada semua penghulu dan pengerusi JPKK yang sangat banyak membantu orang ramai dan berjaya mewujudkan suasana yang harmoni dan bersatu padu dalam komuniti.

Semoga Allah Taala memberkati segala usaha baik yang kita laksanakan demi rakyat Pahang dan akhirnya saya ucapkan tahniah sekali lagi kepada YAB DS Menteri Besar Pahang dan saya mohon menyokong.

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
ADUN Damak – HARAKAHDAILY 10/12/2021

- Advertisement -