Bekas calon PN anggotai PAS Melaka sesi 2021-2023

Asri Shaik Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto MOHD NAZRIN RAHIM

AYER KEROH:
Mantan calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, Jaafar Othman dilantik sebagai Bendahari PAS Negeri Melaka yang baharu.

Jaafar, 45, yang merupakan seorang usahawan dan berasal daripada Alor Gajah, pernah berada dalam saf Dewan Harian PAS negeri pada sesi 2017-2019 sebagai Ketua Penerangan dan sesi 2019-2021 sebagai ahli jawatankuasa.

Menurut Setiausaha PAS negeri, Asri Shaik Abdul Aziz, Jaafar adalah antara barisan pimpinan baharu yang bakal membantu Pesuruhjaya PAS Melaka sesi ini, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang mana perkara itu telah dibincang dan diputuskan dalam dua mesyuarat Ahli Jawatankuasa BPPNM pada 28 November dan 5 Disember lepas.

- Advertisement -

“Kita sudah lengkapkan senarai Jawatankuasa Perhubungan untuk sesi ini di bawah pimpinan Tuan Guru Zulkifli Ismail sebagai Pesuruhjaya.

“Ada juga muka baharu yang dilantik, antaranya Ustaz Sudin Nooh sebagai Timbalan Pesuruhjaya 3 yang mana beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka yang baharu,” ujar beliau.

Asri mewakili PAS negeri turut mengucapkan jutaan terima dan penghargaan terhadap mantan Pesuruhjaya PAS Melaka sesi lepas, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek atas segala sumbangan bakti beliau selama ini.

“Sepanjang saya bekerja dengan beliau selama ni, saya boleh katakan Ustaz Kamarudin, mantan pesuruhjaya kita ini telah bekerja keras menaikkan imej parti.

“Beliaulah juga yang bekerja keras merealisasikan hasrat PAS untuk menyatukan ummah di Melaka ini melalui kerjasama dengan Umno dan kemudiannya dengan parti Bersatu. Ia bukan kerja mudah. Beliau telah lakukan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Anggota Dewan Harian yang lain ialah calon PN daripada PAS bagi DUN Kelebang, Bakri Jamaluddin sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, Ustaz Imran Abdul Rahman (Timbalan Pesuruhjaya 2), Ketua Penerangan, Ustaz Abu Naufal Nordin yang merupakan mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka; Pengarah Pilihan Raya, Ir Hanim Abas; Ketua Dewan Muslimat negeri, Kintan Man dan Ketua Dewan Pemuda Negeri, Muhammad Al-Afiz Yahya.

AJK PAS negeri tambahan ialah Mohsin Ibrahim, Muhamat Puhat Bedol, Abdul Khidir Dewa, Azli Abd Aziz, Safaruan Abdul Ghani dan Tajuddin Azhar. – HARAKAHDAILY 10/12/2021

- Advertisement -