PAS suarakan masalah peniaga Laman Railway ke MPK

- Advertisement -

KLUANG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Kluang telah mengadakan lawatan dan bertemu para peniaga yang menjalankan aktiviti mereka di Laman Niaga Railway, di sini semalam.

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memantau keadaan Laman Niaga Railway di mana baharu sahaja beroperasi di samping menyantuni para peniaga khususnya dalam mendengar permasalahan yang mereka hadapi.

- Advertisement -

Isu kawasan parkir kereta yang menghalang orang ramai atau para pembeli untuk mengunjungi kedai dan keselamatan kanak-kanak yang melintasi jalan raya antara aduan yang banyak dikeluhkan oleh para peniaga.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kluang, Khairul Anuar Ahmad Kamil yang juga Ahli Majlis Zon Bandar Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berkata, PAS Kluang komited untuk membantu para peniaga tersebut.

“Kita (PAS Kluang) sentiasa bersedia untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh warga Kluang khususnya peniaga dan komited untuk membantu mereka mencari solusi bagi permasalahan yang mereka hadapi,” ujar beliau.

Beliau juga memberitahu, perkara diajukan para peniaga tersebut akan dibawa kepada pihak Majlis Perbandaran Kluang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang supaya masalah yang dihadapi itu dapat ditangani.

“Kita akan mencadangkan supaya Jalan Ciku ini ditutup untuk kenderaan keluar masuk pada waktu malam dan memberikan peluang kepada para peniaga meletakkan meja makan di hadapan gerai mereka supaya tiada kenderaan yang akan menghalangi gerai,” tambah beliau.

Laman Niaga Railway telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ir Hasni Mohammad pada 30 Oktober yang lalu dengan mempunyai 18 unit gerai ruang niaga menjual pelbagai jenis makanan serta barangan lain.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Timbalan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kluang, Mohd Zai Ta’amil dan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Bandar, Mistafa Mat. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -