Cinta di langit Kabul, apa ada pada cinta? (Siri III)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PEPERANGAN
meninggalkan kesan mendalam kepada manusia dan kemanusiaan. Watak pongah dan keras muncul membalut karektor manusia, itulah pengalaman di tanah Khurasan ini. Seorang kanak-kanak yang berjualan keropok ringan tanpa diundang mengejarku dan menyodong sebungkusan keropok ringan, aku menolaknya dengan baik kerana teringat pesan Saudara Abdul Rahim agar tak melayan peminta derma, juga yang penjual jalanan kerana akan menarik yang lain untuk memaksa untuk menderma atau membeli. Tiba-tiba kanak-kanak dengan guratan wajah bengis itu melontarku dengan jajan, pengalaman pertama dalam hidupku! Seorang teman baikku sejak zaman Pemuda PAS di Lembah Pantai 24 tahun dahulu disepak daripada belakang sehingga jatuh terduduk!

Benarlah, peperangan akan menanam rasa benci, membentuk karakter manusia yang tak bersahabat, malah perbalahan dengan alasan kecil sekali pun boleh tercetus. Kemiskinan melampau juga boleh merubah karakter manusia, bas tim misi kami pernah dikejar berjemaah oleh kanak-kanak berpakaian kurta yang kumuh, mereka menumbuk dinding bas, tak puas hati apabila kami tak melayan mereka berjualan. Kabul Afghanistan diseliputi sejuk melampau terutama dalam beberapa bulan mendatang, kanak-kanak yang sepatutnya berada di bangku sekolah ini tercicir akibat kemiskinan dan mereka akan terus ditambat dalam putaran ganas kemiskinan.

Misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia dalam kesempatan kali ini juga berpeluang untuk mengagihkan makanan asasi untuk ribuan rakyat Afghanistan. Antara lokasi yang sempat kami santuni ialah di Pochukkari Kabul, Poshman dan lain-lain tempat. Selain mengagihkan keperluan untuk asnaf di sekitar Kabul, rombongan juga mengadakan acara pemulihan terapi jiwa kepada kanak-kanak. Pak Jamu daripada Yayasan Amal Malaysia mengagihkan belon kepada kanak-kanak, berusaha agar mereka tersenyum.

- Advertisement -

“Program sebegini biasa kita buat di banyak negara yang mengalami bencana dan krisis kemanusiaan… antaranya di Paul, Acheh dan lain-lain,” ujar anak Jawa yang pernah terlibat dalam insiden Mavi Marmara sepuluh tahun lepas.

“Kanak-Kanak perempuan tak mahu dipotret wajah mereka…pandai mereka menjaga diri,” ulas Ahmad Safuan Ujar, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia. Itulah kehebatan Kabul Afghanistan. Tiada kawasan “red light”, tiada kawasan pelacuran atau perempuan membuka paha dengan mudah demi selembar wang. Kehidupan mereka sangat susah dengan dua juta ibu tunggal serta 1.5 juta anak yatim di seluruh negara.

Kaum hawa begitu menjaga prinsip serta maruah diri, sulit untuk kita melihat wanita mundar mandir tanpa alasan di Kota Kabul ini. Ini semua mengingatkan aku tentang Kashmir yang pernah tiga kali berkesempatan menyantuni masyarakat di sana pasca gempa bumi 2005. Silap langkah bermain mata dengan perempuan, kita akan dikeronyok bahkan jika di Kashmir ada Undang-undang Adat tertentu yang sangat keras jika melibatkan maruah wanita.

“Ini kalau lempar kain tuala pun boleh tersangkut kat hidung,” canda Haji Zulkifli Wahijan. Masyarakat Kabul Afghanistan mula terdedah sedikit demi sedikit dengan pengaruh Barat apabila dijajah oleh Amerika Syarikat.

Propaganda serta naratif media Barat tentang kaum hawa di negara ini sangat meleset dengan gambaran wanita hanya dikurung di rumah sebagai bahan belasahan hawa nafsu lelaki sahaja. Potret yang bertebaran ke serata dunia tentang wanita Afghanistan ialah bercadur, kelihatan terasing dalam dunia moden. Ironinya, kelompok muslimat berpakaian sopan senang kita temui di hadapan kampus-kampus universiti di sekitar Kabul Afghanistan ini.

Pemberdayaan pendidikan giat dijalankan oleh pihak kerajaan, dibantu oleh pelbagai jaringan sivil seperti Jamiatul Islah melalui sayap muslimahnya. Aku terkejut melihat pakaian memakai seluar denim dengan memakai kasut ‘hi cut’ ala Kirk Hammett di lapangan terbang Kabul Afghanistan pada hari pertama menjejaskan kaki di kota ini.

“Negara ini memerlukan bantuan antarabangsa untuk pulih, pendidikan adalah alat untuk merubah negara ini, sebab itulah kami mensasarkan program pendidikan ketimbang usaha terlibat dengan politik tempatan Afghanistan. Jamiatul Islah mempunyai banyak madrasah, latihan perkaderan dakwah, mempunyai akademia  serta tenaga pemikir…kami akan membantu pihak kerajaan serta membentangkan kertas cadangan kami tentang tatakelola kerajaan yang baik kepada kerajaan Emiriah Islam Afghanistan,” ujar Presiden NGO terkenal negara ini kepada kami dalam satu pertemuan rasmi.

Segalanya tak semudah memetik suis lampu tandas untuk merubah landskap sosioekonomi Afghanistan namun Kota Rom tak dibina sehari. Tahap kemiskinan melampau, kanak-kanak terbiar, pemberdayaan pendidikan untuk kaum hawa, Kadar literasi yang rendah serta melepaskan diri daripada sekatan antarabangsa adalah isu paling kritikal yang dihadapi oleh kerajaan baru Afghanistan. (bersambung) – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Penulis ialah anggota misi kemanusiaan Afganistan Muslim Care Malaysia, pendakwah bebas dan penulis.

- Advertisement -