Tindakan Kedah sangat baik halang kemudaratan harta, sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak (MSU) mengambil maklum dan mengalu-alukan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausahanya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kerajaan negeri tui selaras dengan kaedah fiqh yang menyebut “sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya”.

“Ia juga merupakan satu usaha yang sangat baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial berlaku kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Malah, ujar beliau MSU menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’.

MSU juga, tambah beliau mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri yang mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam sahaja khususnya di kawasan PBT yang tiada permintaan ke atas minuman keras.

“Hal ini kerana fakta menunjukkan bahawa arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk serta memberikan implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam,” katanya lagi.

Menurutnya, tiada mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya berjudi.

Beliau menegaskan, Islam pula melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memetik firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum arak, berjudi, (berkorban) untuk berhala dan bertenung nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji termasuk perlakuan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya”.

Beliau berkata MSU sentiasa mendukung usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -