Bajet Kedah 2022 fokus rangsang ekonomi tempatan

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kedah menganggar hasil dapat dipungut pada tahun 2022 sebanyak RM725 juta, di mana hasil cukai merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM335.91 juta atau 46.33 peratus.

Ia diikuti hasil bukan cukai berjumlah RM224.56 juta (30.97 peratus) dan RM164.53 juta (22.69 peratus) daripada terimaan bukan hasil.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan anggaran belanjawan tersebut berkata, pecahan hasil mengikut kategori iaitu hasil tanah (RM490.01 juta).

- Advertisement -

Selain itu hasil pelbagai jabatan (RM193.97 juta), hasil hutan (RM27.51 juta) dan hasil daerah (RM13.51 juta).

“Daripada anggaran pendapatan hasil itu, sebanyak RM815,22 juta diperuntuk perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM103.04 juta daripadanya diperuntuk sebagai caruman Kumpulan Wang Pembangunan,” katanya ketika membentang Bajet Kedah 2022 pada persidangan Dun semalam.

Menurutnya juga matlamat bajet kali ini dirangka berdasarkan tiga teras utama iaitu pemangkin dan pemulihan aktiviti ekonomi, peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat serta pendigitalan perkhidmatan dan kecekapan tadbir.

Kata beliau Bajet 2022 dirangka sebagai usaha kerajaan untuk memulih, mencergas dan merangsang kegiatan ekonomi tempatan.

Sanusi juga berkata kerajaan negeri berpandu Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) menyasarkan beberapa lagi syarikat ternama sebagai destinasi pelaburan utama pada 2022.

Antara kawasan yang berpotensi bagi pelaburan baharu iaitu Kedah Rubber City (KRC), Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Special Border Economic Zone (SBEZ).

Kulim International Airport (KXP), Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Gurun Industrial Park dan Kawasan Industri Padang Meha.

“Sehingga 2 November 2021, simpanan tetap kerajaan negeri sebanyak RM660.31 juta dan ditolak bayaran tanggungan dan penyelesaian bil-bil, dijangka simpanan tetap sebanyak RM510.31 juta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -