Ja’afar harap pengundi tunai tanggungjawab

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA: Pengundi Durian Tunggal diharap tampil menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman, berkata maklumat awal yang diperolehnya mendapati ramai pengundi berhasrat untuk melakukan undi protes.

- Advertisement -

Katanya, antara punca yang dikenal pasti adalah sebahagian mereka jemu dan kecewa dengan sikap segelintir ahli politik.

“Selain itu, saya dapati rakyat bimbang dengan penularan wabak Covid-19, dalam masa sama berlaku juga isu anak-anak yang bekerja di luar kawasan melarang ibu bapa mereka keluar mengundi.

“Harapan saya supaya warga Durian Tunggal keluar mengundi. Undilah yang terbaik. Benci, atau marah, tetap perlu keluar mengundi,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semasa berkempen, di sini, hari ini.

Menurut Ja’afar, setiap rakyat adalah individu yang bertanggungjawab untuk menentukan siapa pemimpin mereka.

Katanya, jika rakyat gagal untuk menjalankan tanggungjawab itu, masalah yang dihadapi rakyat ketika ini tidak akan dapat diselesaikan.

“Pilihlah pemimpin yang layak, akhlaknya baik dan kita yakin dia boleh membantu kita.

“Jika sekadar bising di luar, tidak mengundi, tidak menjalankan tanggungjawab, ini tidak selesai masalah kalau bukan ahlinya yang memimpin,” katanya.

Malah tambah Ja’afar, rakyat akan terkesan, kemudian menyesal dan terus merungut tanpa dapat keluar dari masalah yang dihadapi mereka.

“Saya memang harapkan untuk mereka keluar mengundi. Terutamanya pengundi muda, andalah penentu kepada politik hari ini,” katanya.

Ja’afar mewakili Perikatan Nasional akan bertanding empat penjuru di DUN Durian Tunggal. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, DUN Durian Tunggal dimenangi oleh calon dari Pakatan Harapan (PH). – HARAKAHDAILY 13/11/2021

- Advertisement -