Exco puji Bomba pantas bertindak elak api merebak

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita membantu mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab dekat sini malam semalam.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, bantuan segera diberi kepada sembilan keluarga mangsa kebakaran pada malam kejadian.

Katanya, sumbangan sebanyak RM500 diberi kepada setiap keluarga sebagai bantuan segera bagi mengurangkan sedikit beban mereka.

- Advertisement -

“Bagaimanapun bantuan-bantuan lain yang menyusul seperti bantuan Tabung Serambi Mekah,” katanya ketika menyantuni mangsa kebakaran terbabit.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Siti Hasma Mat Isa, Timbalan Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Mas Rozita Mas Mohamad, Setiausaha Dun Kota Lama Mortazi Ismail.

Pada kejadian malang itu sebanyak 10 rumah dan lima lot kedai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Sultanah Zainab. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Wildan Azhari berkata, kebakaran dipercayai bermula pada jam 7.22 malam.

Mumtaz yang bergegar ke tempat kejadian kira-kira jam 10 malam turut berharap mangsa kebakaran terbabit bersabar menghadapi ujian berkenaan walaupun berat untuk dihadapi.

“Apa yang lebih penting tidak ada kematian pada kejadian tersebut, alhamdulillah,” ujarnya.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat kerana pantas menggerakkan tujuh jentera untuk operasi memadam kebakaran bagi mengelakkan api merebak. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -