Jangan gelojoh letak agenda atas nama perunding

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pemuda sentiasa berdiri teguh di atas sebarang keputusan yang diambil oleh Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulamak dalam mengharungi lautan yang penuh gelombang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS mengharung lautan yang bergelombang sekarang dan perlu beri mandat kepada presiden bagi menentukan bagi kebaikan parti.

“Jangan pula ada pemimpin yang cuba menjadi perunding dengan menjual nama parti. Jangan gelojoh untuk meletak segala agenda atas nama perunding,” katanya pada ucapan penggulungan hari akhir Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, hari ini.

Menurutnya juga pemuda menggaris agenda Undi 18 tahun yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada tahun depan.

- Advertisement -

Kata beliau ia merupakan satu cabaran yang perlu disahut semua pihak.

Ahmad Fadhli berkata, Unit Melenium Sekretariat Pengundi Muda secara tuntas akan mendekati pengundi muda dengan menguasai media massa termasuk media cetak, eletkronik dan media sosial.

Katanya juga stategi penculaan dan gerak kerja pilihan raya hendaklah dijalankan setiap masa.

“Kalau ingin menang pilihan raya perlu dijalankan penculaan pilihanraya. Ini mengambil kira seramai 5.7 juta pengundi muda akan masuk dalam pilihan raya.

“Anak muda sekarang fikir bagaimana hendak beli rumah, hendak langsaikan hutang pinjaman pelajaran ketika berlajar. Jadi PAS perlu mencari penyelesaian terhadap perkara itu,” ujarnya.

Beliau juga berkata, PAS merupakan parti yang paling integriti di Malaysia, di mana tidak pernah berlaku wakil rakyat amelompat selepas PRU lepas.

Sedangkan katanya ada wakil-wakil rakyat parti lain yang melompat parti berkali-kali sehingga menumbangkan sebuah kerajaan.

Kata beliau juga Dewan Pemuda tidak akan bersaing dengan Dewan Muslimat dengan cadangan untuk menubuh Dewan Muslimat Muda PAS.

“Saya mengarahkan Dewan Pemuda tidak bercakap lagi dengan cadangan itu selepas usul mengenainya ditolak pada muktamar kali ini.

“Usul sama sebenarnya pernah dibawa oleh Dewan Muslimat PAS Kelantan dengan mengambil kira pengalaman 31 tahun PAS berjaya mentadbir negeri itu.

“Biarpun usul tersebut ditolak pada muktamar kali ini namun saya percaya ia akan dibangkit semula pada masa akan datang dengan mengambil kira 5.7 pengundi muda akan menjadi penentu kepada sebuah kerajaan,” katanya.

- Advertisement -