PRN Melaka jadi kayu ukur hadapi PRU15

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap menjadi kayu ukur pemuafakatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wakil Badan Perhubungan PAS Melaka, Sudin Nooh berkata, PAS tidak akan berputus asa bagi meneruskan perjuangan bagi menyatukan ummah.

Katanya kalau berjaya pemuafakatan tersebut tentunya masyarakat bukan Islam akan dapat melihat kekuatan sebenar Islam dan orang Melayu.

“PAS Melaka tidak bertindak kerana dendam dan emosi, namun malangnya Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) akhirnya bertembung pada PRN Melaka.

“Apa pun kita lihatlah nanti hasil yang akan menjadi kayu ukur untuk menghadapi PRU15.

“PAS berusaha hendak bersatu padu, namun apakan daya ia tidak menjadi kenyataan. Agenda menyatukan ummah diperjuangkan PAS sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada muktamar di Duyung Resort petang ini.

Pada ucapan itu beliau memohon perwakilan dari Melaka bertolak pulang awal untuk membuat persiapan menghadapi PRN Melaka.

Sementara itu perwakilan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, PAS sehingga kini terus istiqamah menyatukan ummah samada ijabah (orang Islam) dan ummah dakwah (seluruh kelompok manusia) supaya bersatu.

“Rasulullah s.a.w memulakan langkah perpaduan umat Islam dengan menyatukan golongan (Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj).

“Mereka disatukan dengan perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan iman, yang menghapuskan kebanggaan diri, fanatik perkauman dan kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bangsa Arab,” kata beliau.

Katanya lagi, firman Allah SWT dalam Surah Al Zukhruf ayat 84, antara maksudnya, “Dan Dialah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi, dan Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui membuktikan teras dan asas Aqidah (kepercayaan) mesti dipasakkan dalam jiwa umat Islam seluruhnya bahawa semua makhluk di langit dan di bumi hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Ayat itu katanya menjadi panduan untuk menyatukan ummah dan diperjuangkan PAS permulaan penubuhannya sehingga sekarang.

“Memetik kepada tulisan Minda Presiden, perpaduan yang dilakukan Rasullullah s.a.w ketika hijrah ke Madinah disertai golongan bukan Islam yang terdiri daripada kaum Yahudi, Kristian, Majusi dan lain-lain melalui perjanjian yang dinamakan Sahifah Madinah,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Padang Besar berkata, perpaduan ummah dengan tertubuhnya MN dan PN perlu dijadikan agenda besar untuk menjayakan agenda perpaduan.

“Penyatuan ummah ini atas dasar ‘berpegang dengan agama Allah dan jangan berpecah belah’ bukan hanya terhad kepada parti atau kaum tertentu sebaliknya serta jauh sekali atas kepentingan orang tertentu

“Kita menolak semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda hendak merungkai asas penting daripada petunjuk Islam yang telah wujud dalam perlembagaan, sehingga mereka bermatlamat untuk meminggirkan Islam dan kepimpinan Islam,” ujar beliau.

Wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia Hafez Sabri berkata Pemuda menyokong langkah PAS bertanding menggunakan logo PN pada PRN Melaka 20 November ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -