AS lulus jualan peluru berpandu RM2.7b kepada Arab Saudi

- Advertisement -

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan penjualan peluru berpandu ‘udara ke udara’ bernilai AS$650 juta (RM2.7 bilion) kepada Arab Saudi, yang menurut Pentagon, ia merupakan perjanjiann senjata utama pertama pentadbiran Biden dengan kerajaan Teluk.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (waktu AS), Pentagon berkata, Jabatan Negara AS meluluskan penjualan itu untuk membantu Riyadh menentang ancaman semasa dan akan datang.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan pada Khamis (waktu AS), Pentagon berkata, Jabatan Negara AS meluluskan penjualan itu untuk membantu Riyadh menentang ancaman semasa dan akan datang.

“Cadangan penjualan ini akan menyokong dasar luar AS dan keselamatan negara Amerika Syarikat dengan membantu meningkatkan keselamatan negara sahabat yang terus menjadi kuasa penting untuk kemajuan politik dan ekonomi di Timur Tengah,”  ujar jurucakap Pentagon menurut laporan Al Jazeera.

Tambah sumber itu, firma Raytheon yang berpangkalan di Massachusetts akan menjadi ‘kontraktor utama’ untuk penjualan AIM-120C-7/C-8 Advanced Medium Range Air-to-Air Missiles (AMRAAM) dan peralatan senjata berkaitan.

Penjualan itu dibuat beberapa bulan selepas Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau akan menamatkan sokongan AS untuk ‘operasi serangan’ Arab Saudi di Yaman, termasuk ‘penjualan senjata yang berkaitan’.

Biro hal ehwal politik-tentera Jabatan Negara AS menyatakan dalam satu siri tweet pada hari Khamis bahawa peluru berpandu berkenaaan ‘tidak akan digunakan untuk menyerang sasaran darat’.

“Kami telah melihat peningkatan dalam serangan rentas sempadan terhadap Arab Saudi sepanjang tahun lalu,’ tambahnya.

“Peluru berpandu AIM-120C Saudi, yang digunakan dari pesawat Saudi, telah memainkan peranan penting dalam memintas serangan ini yang juga (meletakkan) tentera AS dan lebih 70,000 warga AS di Arab Saudi berada dalam risiko.”

Proses penjualan peluru berpandu  itu tidak memerlukan kelulusan kongres, tetapi penggubal undang-undang boleh menyekat perjanjian itu dengan meluluskan rang undang-undang penolakan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Penjualan peluru berpandu itu berikutan kelulusan AS bagi perjanjian penyelenggaraan helikopter bernilai AS$500 juta untuk kerajaan itu pada September lalu. Pengkritik  bagaimanapun  menyelar perjanjian berkenaan.

“Ini tiada kaitan dengan matlamat untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik dan segala-galanya berkaitan dengan memacu ekonomi pertahanan kita,”  tulis Marianne Williamson, seorang pengarang dan bekas calon presiden, di Twitter. 

“Ekonomi Amerika tidak sepatutnya dibangunkan berkait dengan perdagangan melibatkan kematian nyawa,” tambahnya.

Terdahulu, Biden mengecam Arab Saudi berhubung perang Yaman dan pembunuhan wartawan yang berpangkalan di AS Jamal Khashoggi, dan menggelarkan kerajaan negara  itu sebagai ‘pariah’.

Jurucakap Jabatan Negara berkata penjualan peluru berpandu udara ke udara itu ‘sepenuhnya konsisten dengan ikrar Pentadbiran … untuk memimpin dengan diplomasi untuk menamatkan konflik di Yaman sambil juga memastikan Arab Saudi mempunyai cara untuk mempertahankan diri daripada serangan udara Houthi yang disokong Iran’

Campur tangan Arab Saudi di Yaman bermula pada tahun 2015 apabila kerajaan itu dan gabungan sekutu serantaunya memulakan kempen pengeboman terhadap pemberontak Houthi di negara itu, yang telah mengambil alih ibu kota Sanaa dan sebahagian besar negara berkenaan.

Arab Saudi menganggap Houthi sebagai proksi Iran, dakwaan yang ditolak oleh kedua-dua pemberontak dan Tehran. Peperangan itu telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang besar dan PBB berkata tahun lalu bahawa kira-kira 233,000 orang telah mati akibat konflik itu.

Di tengah-tengah peningkatan serangan rentas sempadan oleh Houthi dan serangan oleh pemberontak untuk menawan bandar strategik Marib, Arab Saudi menawarkan gencatan senjata di Yaman pada Mac tahun ini.

Namun Houthi menolak cadangan itu, sambil menegaskan bahawa sekatan udara dan laut yang diketuai Saudi ke atas negara itu mesti ditarik balik tanpa syarat sebelum pertempuran berakhir. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -