PEKB lahirkan usahawan tanpa insentif kewangan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

BANGI: Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya melahirkan usahawan makanan dari kalangan B40 tanpa pemberian sebarang suntikan kewangan secara langsung.

Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dato’ Muhammad Musa, berkata seramai 121 peserta mengikuti kursus di bawah PEKB selama seminggu dilatih dengan pelbagai kemahiran bagi memantapkan kelangsungan perniagaan mereka.

Katanya, para peserta hanya akan diberikan peralatan serta keperluan perniagaan seperti chest freezer, gelombang ketuhar, komputer riba dan sebagainya selepas tamat program latihan bagi memudahkan kelangsungan perniagaan mereka.

“Melalui program ini, kita latih para peserta selama seminggu dari segi program bermula dengan bina insan, celik kewangan, bina upaya, kita latih kemudian kita sediakan mereka peralatan selepas tamat program,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Persatuan Wanita di Hati Rakyat (WADIHARA), Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (PESAT), Yayasan Mahasiswa dan Sahabat Prihatin Selangor dengan Foodpanda, di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, semalam.

Dato’ Muhammad Musa

Beliau berkata, kerjasama kerajaan dengan NGO terlibat, melancarkan serta memudahkan lagi perjalanan program PEKB dan perkembangan setiap peserta selepas program tamat diadakan.

“NGO yang kita lantik ini bertugas untuk memantau peserta program, mereka akan telefon dan tanya balik, akan turun ke tempat mereka meniaga dan mereka akan bantu jika ada masalah.

“Mereka juga akan bantu kalau peserta ada masalah kewangan dan sebagainya di mana mereka boleh mendapat bantuan kewangan daripada bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Amanah Ikhtiar dan sebagainya,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan Foodpanda membuka lagi peluang yang luas kepada usahawan memasarkan produk makanan mereka secara atas talian dengan lebih mudah, cepat dan sistematik.

“Kita memilih Foodpanda kerana ia merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) terbesar di Malaysia dan mencatatkan keuntungan paling tinggi sejak pandemik Covid-19,” katanya.

Peserta Program PEKB

Menurutnya lagi, PEKB 2021 merupakan inisiatif pembangunan keusahawan yang diterajui KPKT bagi membantu golongan B40 yang berdaftar di dalam sistem eKasih.

Katanya, PEKB bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan supaya usahawan mampu mendapatkan pekerjaan atau mengusahakan perniagaan sendiri.

Katanya lagi, pelbagai bantuan berbentuk latihan keusahawanan, bimbingan serta peralatan diberikan kepada peserta program bagi membantu mereka memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.

Antara kursus yang ditawarkan di dalam program tersebut ialah Kursus Masakan dan Minum serta Kursus Peruncitan dan Pemasaran (Online), katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

- Advertisement -