PUCHONG: Gelombang Sejahtera Keluarga Malaysia (GENGGAM) Selangor peringkat Parlimen Puchong telah dilangsungkan dengan meriahnya melibatkan beberapa aktiviti di sekitar kawasan penduduk, di sini kelmarin.
Antara tujuan program ini adalah untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain memaklumkan pelbagai inisiatif disediakan kerajaan kepada rakyat.
Program dijayakan bersama Persatuan Belia Bestari Puchong dan Masjid Seri Aman telah beracara seawal jam 5 pagi dengan aktiviti munajat serta riadah larian santai dan berbasikal serta ziarah kunjungan.
Turut dilangsungkan adalah Forum Keluarga Malaysia, edaran gulai kawah dan sumbangan kepada golongan warga emas, selain pengisian petrol motosikal percuma yang sememangnya menarik perhatian golongan muda.
GENGGAM Selangor peringkat Puchong ini dirasmikan Penasihat Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Rosli Jusoh yang disusuli forum berkisar keharmonian keluarga Malaysia.
Diisi oleh Pegawai Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Hezry Yasin dan Pegawai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ustaz Mohamad Sobri Mohamed Husin, mereka turut mengupas berkaitan sosial melalui teknologi maklumat.
Bagi penduduk dan warga kariah Masjid Kampung Seri Aman pula bergotong-royong memasak dan mengedarkan gulai kawah serta acara kunjungan ziarah menyantuni ke rumah warga emas terutamanya.
Manakala lebih 100 motosikal bertuah menerima pengisian petrol percuma yang telah diadakan sempena program ini di Stesen Petronas Puchong Prima. – HARAKAHDAILY 2/11/2021