PAS sertai PRN Melaka kali ini untuk menang

- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini untuk menang, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

“Kita masuk pilihan raya pada kali ini bukan seperti mana pilihan-pilihan raya yang lepas. Tetapi pilihan raya yang kita masuk pada kali ini adalah untuk menang.

“Dan seterusnya akan membentuk sebuah kerajaan. Khususnya PAS akan berada dalam sebuah kerajaan negeri Melaka selepas dari 20 haribulan (November) ini,” ujar beliau.

- Advertisement -

Ustaz Kamarudin berkata demikian ketika memberikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Jentera PRN PAS Melaka secara dalam talian, malam tadi.

Tambahnya, tidak penting sama ada PAS bertanding banyak atau sedikit kerusi, namun yang penting ialah kemenangan yang membolehkan PAS menghantar wakil dalam kerajaan negeri.

“Yang penting kita ada kemenangan yang membolehkan parti ini bertapak di negeri Melaka untuk terus membantu kerajaan negeri serta kita bawa suara Islam dan pendekatan Islam dalam kerajaan negeri Melaka pada masa yang akan datang,” ujar beliau.

Turut berlangsung ialah gimik pelancaran dengan penyerahan bendera PAS kepada wakil dari kawasan-kawasan dalam negeri ini sebagai tanda bermulanya kempen.

Program yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS PUsat, Muhammad Sanusi Md Nor itu dijalankan secara dalam talian melibatkan dua lokasi iaitu di Studio Jabatan Penerangan PAS Melaka di Ayer Keroh dan Putrajaya dipancarkan melalui laman Facebook PAS Melaka.

Sementara pimpinan dan jentera PAS bagi PRN ini menontonnya dari rumah masing-masing sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang baharu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang sebarang perhimpunan bagi tujuan PRN kali ini.

Turut memberi ucapan ialah Pengarah Jawatankuasa Operasi PRN Melaka yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Wan Nik Wan Yusoff.

PRN ini diadakan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Oktober lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 8 November ini sementara hari mengundi pula 20 November. – HARAKAHDAILY 1/11/2021

- Advertisement -